KUALA LUMPUR – Himpunan Ummah 405 yang berlangsung di ibu negara petang ini sudah cukup untuk membuktikan semangat orang Melayu dan Islam yang mahu bangkit mempertahankan hak istimewa, kedaulatan raja-raja dan agama Islam.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kejayaan himpunan ini juga satu cerminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh memandang remeh suara dan nurani umat Islam, di mana bangsa Melayu sebagai kaum teras di negara ini.
Menurutnya, Perhimpunan 405 ini sesungguhnya, menyerlahkan jati diri umat Melayu Islam, serta semangat yang luar biasa apabila peserta tidak berganjak meninggalkan perhimpunan meskipun hujan lebat.
“Himpunan Ummah 405 yang berlangsung di ibu negara petang ini boleh disifatkan sebagai terbaik.
“Peserta berjaya memelihara disiplin dan adab tinggi selain kerjasama baik oleh pihak berkuasa,” katanya.
Penganjur perhimpunan juga berjaya, tambah Noraini, memberi komitmen bahawa Perhimpunan 405 berlangsung aman tanpa unsur provokasi selain objektifnya menyatukan umat Islam. – MalaysiaGazette