Home Uncategorized Orang lemah tidak mungkin berjaya – PM

Orang lemah tidak mungkin berjaya – PM

Mahathir MOhamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 MEI 2019

PUTRAJAYA – Manusia yang gagal melawan nafsu tentang rasuah adalah golongan yang lemah dan tidak akan berjaya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sememangnya nafsu mendorong manusia lakukan perkara yang dilarang seperti aktiviti menerima rasuah.

Justeru itu, penjawat awam digesa agar menjadikan amalan berpuasa di bulan Ramadan sebagai pemangkin kepada agenda melawan rasuah.

“Rasuah itu tidak baik tetapi (jika) tidak melawan nafsu apabila dihulur rasuah, dengan itu kita jadi manusia lemah, orang lemah tidak mungkin berjaya, hanya orang kuat sahaja yang berjaya, kuat mengawal nafsu.

“Bulan Ramadan melatih mengawal diri dan perlu guna bulan ini bukan sahaja sebagai satu ibadat tetapi satu masa bulan untuk kita melatih diri supaya kita dapat menolak gesaan nafsu dengan berjaya,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Perdana Putra, awal hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, antaranya P. Waytha Moorthy, dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Tambah Dr Mahathir, aktiviti melawan nafsu juga tidak seharusnya dipraktiskan pada bulan Ramadan sahaja, namun perlu dipanjangkan pada bulan-bulan lain.

“Walaupun ada kalanya ia terpaksa diakur, tetapi kalau kita ikut nafsu sudah tentu hasil yang kita lakukan akan menjadi lebih buruk.

“Mungkin pada mulanya akan ada kejayaan untuk dapat sesuatu, tetapi akhirnya akan hasilkan keburukan pada diri sendiri, kalau kita sebagai satu bangsa Malaysia kuat menolak nafsu, saya yakin negara kita akan dipercayai diseluruh dunia,” katanya lagi.

Semalam, Dr Mahathir berkata terdapat kalangan rakyat termasuk penjawat awam yang mahu kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak diteruskan untuk penggal akan datang hanya kerana kelantangannya mengekang rasuah.

Malah beliau turut mendapati ada pihak yang menganggap kerajaan PH tidak sebaik pentadbiran terdahulu hanya kerana menolak amalan tidak bermoral tersebut. -MalaysiaGazette