Home Utama Najib tandatangan surat perjanjian tambahan RM2 bilion SRC International

Najib tandatangan surat perjanjian tambahan RM2 bilion SRC International

Saksi, Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP, Amirul Imran Ahmat hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat mendedahkan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) telah menerima permohonan pinjaman tambahan sebanyak RM2 bilion yang kemudian telah ditandatangani oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika masih menjawat jawatan tersebut.

Amirul merupakan bekas Penolong Naib Presiden KWAP (Bahagian Pendapatan Tetap) ketika memberi keterangan berkata, pihaknya telah menerima resolusi daripada Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC International) untuk mendapatkan pinjaman tambahan RM2 bilion pada 14 Mac 2012.

Jelas Amirul , Najib kemudian telah menandatangani surat perjanjian pinjaman tambahan RM2 bilion oleh SRC International daripada KWAP itu,

Kata Amirul lagi, KWAP akhirnya memberikan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada RM3.95 bilion, yang asalnya dengan pinjaman pertama berjumlah RM2 bilion, maka RM2 bilion lagi adalah pinjaman berasingan untuk SRC.

“KWAP meluluskan RM2 bilion bagi permohonan pinjaman pertama SRC sebanyak RM3.95 bilion.

“Ini merupakan pinjaman yang terbesar pernah saya lihat sepanjang saya berkhidmat dengan KWAP. Jumlah sebanyak RM4 bilion,” katanya ketika sesi soal balas dengan peguam pendakwa, Datuk Ishak Mohd. Yusoff.

Khamis lepas, saksi ke-28, Datuk Dr Kamariah Noruddin yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mendedahkan SRC International pernah menerima geran RM20 juta daripada kerajaan sebagai modal permulaan.

Kata Kamariah, syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pernah memohon peruntukan RM3 bilion bagi penubuhan SRC International.

Jelasnya, SRC bertujuan mengekalkan pegangan strategik dalam pengeluaran negara, antaranya arang batu, uranium, besi, aluminium, minyak dan gas. –MalaysiaGazette