KUALA LUMPUR – Bekas pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah (D9), Md Ali Amir Batcha meluahkan isi hatinya apabila memberitahu dia tidak lagi mampu untuk melakukan sebarang kerja selepas dibebaskan daripada penjara 20 tahun lalu.
Menceritakan mengenai perkara itu, bapa kepada lapan orang anak yang kini sudah berusia 65 tahun berkata, semua itu adalah disebabkan penderitaan yang dialaminya ketika menjalani hukuman penjara di Simpang Renggam pada tahun 90an.
Katanya, dia terpaksa tidur di atas lantai simen tanpa sebarang alas ketika merengkuk di dalam penjara selama tiga tahun akibat tuduhan palsu yang dikenakan.
Tambahnya, dia tidak mampu untuk berdikari lagi akibat lemah tenaga badan serta sering sakit-sakit walaupun semasa berada dalam pasukan beliau merupakan seorang yang kuat bekerja hingga berjaya menumpaskan banyak penjenayah.
“Masa saya dalam penjara, saya baring atas lantai. Bukan sehari tapi tiga tahun.
“Badan saya kini sakit-sakit kesan daripada tidur di atas simen hanya semata-mata berdepan dengan tuduhan yang tidak pernah saya lakukan,” ujarnya ketika ditemui semalam.
Malah katanya, ketika berada di dalam penjara tersebut dia pernah berdepan dengan pelbagai situasi termasuk ada cubaan untuk meracun dan membunuhnya oleh beberapa banduan setelah mereka mengetahui beliau merupakan seorang anggota polis.
Katanya, dia berasa sangat kecewa kerana disabitkan dengan kesalahan oleh pihak atasannya sendiri ketika beliau memakai pangkat sebagai Asisten Superitendan (ASP) semasa bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Bahru.
“Saya menjadi mangsa kepada satu konspirasi. Saya mahu buktikan saya tidak pernah terlibat dalam rompakan dan saya tegaskan saya tidak pernah merompak. Apa yang berlaku adalah saya menumpaskan perompak,” ujarnya.
Disebabkan perkara itu Md Ali berkata, dia membuat keputusan untuk menjual segala harta yang dimiliki termasuk tanah bagi menampung perbelanjaan harian termasuk membayar khidmat guaman yang pernah digunakan ketika mahu mendapatkan pembelaan berhubung kesnya itu satu ketika dahulu.
Ujarnya, dia berasa sangat sedih mengenangkan apa yang berlaku ke atas dirinya dan mengharapkan kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) dapat mengembalikan keadilan terhadap apa yang dipendam selama ini.
Semalam, Md Ali dengan ditemani bekas bosnya iaitu bekas Ketua Polis Johor, Mohd Onn Muda datang ke Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum bagi menggesa kerajaan menubuhkan sebuah tribunal khas menyiasat kembali kesnya itu.
Md Ali merupakan seorang anggota yang ditahan dan dipenjarakan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat (EO) pada 1997.
Beliau dituduh melakukan 34 rompakan sekitar Johor, mengambil hasil rompakan, merancang melakukan samun di bank dan melakukan kesalahan rasuah. – MalaysiaGazette