Home Ekonomi Harga minyak bercampur-campur

Harga minyak bercampur-campur

SINGAPURA – Harga minyak bercampur-campur hari ini berikutan sekatan eksport minyak Iran dan Venezuela serta pertikaian perdagangan Amerika Syarikat-Sino yang dikhuatiri akan melembapkan ekonomi dunia.

Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada harga AS$62.29 setong pada 0135 GMT pada hari Selasa, naik AS$0.04 berbanding harga penutup.

Manakala kontrak hadapan Brent pula AS$71.16 setong, susut AS$0.08 daripada harga penutup.

Para penganalisis berkata, terdapat beberapa faktor yang memberi tekanan ke atas harga minyak.

Amerika Syarikat telah mengetatkan sekatan ke atas eksport minyak Iran dan semalam telah meningkatkan kehadiran tentera di Timur Tengah.

Tehran berkata, ia akan menentang sekatan ini dan akan terus menjual minyak di pasaran “kelabu”.

Iran juga mengancam tindakan “timbal balik” terhadap sekatan Amerika Syarikat dengan memulakan semula beberapa program nuklearnya.

Sekatan Amerika Syarikat telah menurunkan eksport minyak mentah Iran pada tahun lepas kepada kurang daripada 1 juta tong sehari dan penghantaran kepada pelanggan dijangka turun serendah 500,000 tong sehari pada bulan Mei apabila sekatan dikuatkuasakan.

Di luar Iran, krisis di Venezuela juga mengganggu bekalan minyak ahli OPEC ini apabila Washington mengenakan sekatan minyak terhadap negara tersebut yang berada di bawah pemerintahan Presiden Nicolas Maduro. – MalaysiaGazette