YANGON – Dua wartawan Reuters yang didapati bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi dibebaskan hari ini selepas hampir setahun empat bulan dipenjarakan.
Wa Lone, 33, dan Kyaw Soe Oo, 29, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun pada September lalu, lapor Reuters.
Kes tersebut telah menimbulkan persoalan mengenai progres pelaksanaan sistem demokrasi di Myanmar.
Ia juga mendapat kecaman daripada para diplomat dan pejuang hak asasi.
Kedua-dua wartawan tersebut dibebaskan bersama 6,520 banduan lain selepas mendapat pengampunan presiden.
Sudah menjadi tradisi di Myanmar untuk kerajaan membebaskan banduan di seluruh negara sekitar sambutan tahun baharu tradisional yang bermula pada 17 April.
Dikelilingi oleh petugas media dan penyokong-penyokong yang mengucapkan tahniah, kedua-duanya berjalan keluar dari Penjara Insein sambil Wa Loe mengucapkan terima kasih di atas usaha pihak antarabangsa membebaskan mereka.
Kedua-duanya dibawa pulang oleh rakan sekerja dari Reuters untuk bertemu ahli keluarga masing-masing.
Kedua-dua wartawan tersebut ditahan pada Disember 2017 ketika sedang menyiasat pembunuhan 10 rakyat Rohingya termasuk kanak-kanak oleh pasukan tentera Myanmar dan penganut Budha di Rakhine semasa pertempuran dengan kerajaan bermula Ogos 2017. – Reuters