Home Utama RUU355: Pas gagal beri penerangan yang cukup – Nancy

RUU355: Pas gagal beri penerangan yang cukup – Nancy

Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Pas gagal memberi penerangan yang cukup berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 menyebabkan pihak kerajaan tidak mengambil usul tersebut, kata Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri.

Nancy yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mudah bersetuju dengan sesuatu perkara tanpa mengetahui butiran, malah ramai ahli-ahli Parlimen tidak diberikan penerangan yang cukup berhubung RUU355.

“Kami daripada BN tidak mahu mudah bersetuju atau tidak bersetuju tanpa mengetahui butirannya.

“Saya harap lebih banyak penerangan diperlukan melibatkan rang undang-undang tersebut daripada mereka yang membawanya. Saya seorang Muslim tapi harus diingat masih ramai bukan Muslim yang tidak memahaminya. Malah, kami sendiri juga tidak diberikan penerangan yang cukup, jadi bagaimana mahu menyokongnya?” kata Nancy semasa ditemui di Parlimen hari ini.

Menurut Nancy, keputusan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam tidak bermakna ahli-ahli parlimen BN tidak menyokongnya cuma mereka perlu diberikan lebih banyak penerangan berhubung undang-undang tersebut.

“Penerangan perlu dibuat seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata, walaupun kerajaan tidak mengambil RUU355 untuk dibentang, tidak bermakna ia tidak akan dibahaskan di Dewan Rakyat dan terpulang kepada ahli-ahli Parlimen nanti untuk menentukan sama ada menyokong atau tidak apabila dibahas kelak.

“Usul Persendirian RUU 355 jika dibentangkan kelak, bermakna versi RUU355 yang dicadangkan Pas akan terbuka kepada perbahasan dalam Dewan Rakyat kelak.

“Apabila dibahaskan terserah kepada proses demokrasi berparlimen untuk membincangkan secara tuntas pro dan kontra setiap aspek dalam pindaan yang dicadangkan.

“Jika ditakdirkan RUU355 ini diterima kelak selepas dibahaskan dengan majoriti mudah, maka RUU ini diletakkan dibawah tanggungjawab kerajaan bagi menyediakan penyata Kerajaan,” kata Asraf dalam satu kenyataan.

Selepas semua selesai dibahaskan, baharulah kerajaan meneliti kembali aspek-aspek di dalam cadangan awal pindaan yang dibuat Pas, sama ada untuk meminda bagi tujuan menambah baik atau kekal sebagaimana versi asal, kata Asraf.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kepada seluruh rakyat yang berbilang agama, perlu mengambil kira semua faktor termasuk aspek yang menjadi polemik dan kekeliruan di kalangan rakyat terhadap cadangan pindaan RUU355 yang dikemukakan Pas,” katanya.

Semalam, dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan tidak ada wakil kerajaan akan membentangkan Pindaan Akta 355.

Najib berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi parti tersebut. – MalaysiaGazette