ENGLAND – Penyerang berbisa Barcelona, Luis Suarez berhajat untuk tidak meraikan gol menentang Liverpool di Anfield dalam aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah awal pagi nanti.
Suarez yang meninggalkan the Kops pada 2014 selepas tiga setengah musim di Anfield meraikan gol jaringan pada aksi pertama the catalans menjinakkan Liverpool di Nou Camp minggu lalu.
Bagaimanapun penyerang antarabangsa Uruguay memohon maaf atas tindakannya.
Dia juga menegaskan sentiasa menghormati penyokong Liverpool.
“Saya rasa akan hadir lebih banyak tepukan berbanding wisel dari penyokong.
“Mungkin segelintir penyokong tidak menyukainya tetapi saya rasa ia akan menggembirakan,” katanya yang kini berlatih di Anfield menjelang perlawanan awal pagi esok.
Tambah Suarez, dia sentiasa menghormati penyokong Liverpool dan meraikan jaringan di Barcelona.
“Tapi jika saya menjaringkan lagi menentang Liverpool malam ini saya tidak akan mengulangi perbuatan itu di Anfield,” tegasnya.
Suarez sepanjang bersama the Reds telah menjaringkan 82 gol dalam 133 perlawanan sambil menambah ” menjadi kapten pasukan Liverpool ketika itu adalah saat yang membanggakan dalam karier saya.
“Saya boleh beraksi dengan kelab elit Eropah seperti Barcelona adalah disebabkan Liverpool yang mencorakkan saya sebagai pemain sempurna,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette