Home Politik Pas tak salahkan UMNO RUU355 tak dibawa kerajaan

Pas tak salahkan UMNO RUU355 tak dibawa kerajaan

Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas tidak menyalahkan UMNO susulan keputusan kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu bukan satu pengkhianatan, malah mereka sebenarnya yang membawa usul persendirian tersebut.

Oleh itu, tambah beliau, tidak timbul soal UMNO khianat kepada Pas seperti didakwa oleh setengah pihak.

“(Ini kerana) kita sedar dari awal bahawa kita adalah orang yang membawa rang undang-undang persendirian ini. Jadi, bukan isu sama ada UMNO tidak menyokong kita,” kata Takiyuddin di Parlimen hari ini.

Takiyuddin juga tidak menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan sedemikian kerana tekanan dari parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Tetapi, sebagai seorang Islam, saya fikir dia (Najib) bertanggungjawab untuk memastikan perkara ini (Akta 355) dapat diluluskan,” katanya lagi.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz juga senada dengan Takyuddin yang tidak menyalahkan Najib kerana mungkin terpaksa tunduk dengan keputusan konsensus parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Saya cuma anggap ini kegagalan UMNO meyakinkan komponen BN. Ini kerana dalam BN perlu konsensus maka PM terpaksa. Sedikit pun tidak jejaskan usaha kita.

“Rakyat sudah faham. Kita dah yakinkan dua tiga tahun. Kalau ahli Parlimen sendiri tak faham saya rasa itu lebih teruk dari rakyat,” katanya.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN semalam, Najib mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta 355. – MalaysiaGazette.