KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan supaya merancang masa dan keluar pada awal pagi untuk mengundi Sabtu ini.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, seramai 39,684 daripada 39,856 pengundi biasa yang layak mengundi pada Sabtu ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 172 orang telah mengundi secara pos.
“Para pengundi adalah dinasihatkan agar merancang masa dan keluar pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir walaupun waktu mengundi telah ditetapkan dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang.
“Bagi pengundi yang telah menerima kad pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagi pengundi yang tidak menerima Kad Pengundi kerana kemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.
Semakan boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut:
- a) layari portal rasmi SPR di www.spr.gov.my; atau
- b) telefon ke talian 03-88927018; atau
- c) menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak; atau
- d) SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO.KAD PENGENALAN)
Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih, tambahnya.
Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.
Kad pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.
Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya. – MalaysiaGazette