Home Dunia Empat wilayah calon ganti Jakarta sebagai ibu negara

Empat wilayah calon ganti Jakarta sebagai ibu negara

Bandar Palangkaraya

JAKARTA – Menteri Perancangan Nasional, Bambang Prodjonegoro berkata kerajaan telah mempelawa empat wilayah untuk mencadangkan lokasi ibu negara baharu bagi menggantikan Jakarta, sekepas Presiden Joko Widodo yang popular dengan jolokan Jokowi menghidupkan semula rancangan memindahkan ibu negara itu.

Agensi Perancangan Pembangunan Nasional (Bappenas) telah mempelawa pentadbiran wilayah Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Kalimantan Timur dan Sulawesi Barat untuk menyediakan satu rancangan penempatan semula.

“Empat penempatan itu memenuhi kriteria untuk sebuah ibu negara. Kami akan menentukan lokasi yang ideal untuk ibu negara ini. Ia bukan pertandingan antara wilayah,” katanya Bambang seperti dipetik kontan.co.id.

Sementara itu, Jokowi terbang ke Kalimantan semalam sebagai tindakan susulan terhadap rancangan pemindahan ibu negara itu, lapor The Jakarta Post.

Beliau melawat ibu negeri wilayah Kalimantan Timur, Balikpapan dan ibu negeri wilayah Kalimantan Tengah, Palangkaraya.

Palangkaraya sering kali disebut sebagai calon utama untuk ibu negara yang baharu.

Bambang berkata, kerjasama dengan pentadbiran tempatan dalam persediaan pemindahan ibu negara adalah penting bagi memastikan rancangan pemindahan itu berjalan lancar khususnya dalam aspek ketersediaan tanah.

“Kami perlu mengetahui tanah yang ada untuk menempatkan semula ibu negeri, oleh itu kami tidak memerlukan pemilikan tanah baharu,” katanya sambil menambah ibu negara baharu itu seharusnya ditempatkan berhampiran dengan bandar yang telah wujud dalam sesebuah wilayah.

Beliau berkata, selepas kajian pemindahan ibu negara dilakukan, kerajaan akan mendapatkan kelulusan undang-undang baharu daripada Dewan Perwakilan. – Agensi