LONDON – Jose Mourinho mengkritik mentaliti para pemain Barcelona dan jurulatih, Ernesto Valverde selepas juara La Liga itu dibelasah Liverpool 0-4 di Anfield awal pagi tadi, sekali gus gagal mara ke final Liga Juara-Juara.
Bekas pengendali Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Manchester United itu menganggap para pemain Barcelona hilang fokus teruk dalam perlawanan ini.
Mourinho mempersoalkan aksi pemain Barcelona yang menjadi penyebab mereka tersungkur di tangan Liverpool selepas memiliki kelebihan tiga gol sebelum ini.
Pengendali Portugal itu memberikan contoh pada gol keempat Liverpool sebagai salah satu bukti jelas mental para pemain Barcelona berada di tahap tidak sepatutnya.
Pemain Barca kelihatan terleka menganggap Arnold akan menyerahkan sepakan itu kepada Shaqiri. Pada detik itulah Divock Origi diberikan ruang sangat besar.
“Jika kamu melihat gol keempat Liverpool, gol itu seperti tahap budak 14 dan 15 tahun. Mereka tertidur. Pemain yang masih budak-budak tidak ada mentaliti kuat di atas padang kerana fasa itu mereka masih belajar asas bola sepak,” katanya ketika menjadi pengulas di beIn Sports.
“Pada separuh masa pertama tadi saya cakap, jika Liverpool menjaringkan gol kedua, atmosfera di Anfield akan memberikan kesukaran kepada kamu. Sangat sukar untuk kamu bermain dalam atmosfera seperti itu.”
“Namun Barcelona ada ramai pemain terbaik dunia dan mereka sudah biasa hidup dalam habitat dan peringkat seperti itu. Mereka bersaing dengan Real Madrid, main final UCL dan bermain di separuh akhir setiap musim,” katanya. – MalaysiaGazette