Home Seni Hidup Kami sudah selamat nikah pun – PU Abu

Kami sudah selamat nikah pun – PU Abu

PU Abu mengaku dia selamat bernikah di Satun, Thailand pada 2 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan akhirnya
mengesahkan dia sudah berkahwin dengan ibu tunggal beranak satu yang dikenali sebagai Hana Azraa.

PU Abu atau nama sebenarnya Muhammad Abu Sufyan Mohd. Mokhtar Rozaidi berkata, hubungannya bersama wanita itu kini sudah halal sebagai suami isteri selepas mereka dinikahkan pada awal bulan lalu.

“Saya tidak akan menafikan yang melihat saya di sempadan 2 Mei lepas.

“Terima kasih menyebarkan. Yang penting hubungan saya sudah halal,” katanya ringkas sambil berkongsi berita gembira itu menerusi status di Instastory miliknya pada awal pagi ini.

Apa pun penjelasan itu mengesahkan maklumat daripada individu yang mendakwa melihat PU Abu bersama seorang wanita
dipercayai Hana Azraa berada di Satun, Thailand pada 2 Mei lalu.

Dalam pada itu, PU Abu sempat mengingatkan netizen untuk menjaga hal masing-masing dan berhenti menghukumnya.

“Berhenti mengecam saya seolah-olah hanya saya yang melakukannya. Sila jaga tepi kain masing-masing,” ujarnya.

Bagaimanapun pendakwah bebas itu telah menyahaktifkan akaun Instagram selepas lima minit mengesahkan perkara berkenaan.

Akaun itu kemudiannya diaktifkan semula beberapa jam kemudian dan status di Instastory juga terpadam.

Pada 3 Mei lalu, PU Abu dan Hana Azraa ada memuat naik status berbunyi “Alhamdulillah” dan “Officially” melalui
Instastory masing-masing yang memberi bayangan mereka berkongsi kegembiraan selepas dinikahkan.

Kontroversi rumah tangga PU Abu mula mendapat perhatian pada April lalu apabila bekas isterinya Ain Ani mendedahkan
telah diceraikan ketika sarat mengandung tujuh bulan.

Ain turut memberitahu punca perceraian itu disebabkan orang ketiga iaitu seorang ibu tunggal yang dikenali sebagai Hana
Azraa.

Ain juga mendedahkan PU Abu meminta keizinan untuk berpoligami ketika dua bulan mereka mendirikan rumah tangga.
– MalaysiaGazette