Home Utama Tun M tidak puas hati prestasi Bersatu

Tun M tidak puas hati prestasi Bersatu

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa temubual khas di Bangunan Perdana Putra Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2019

PUTRAJAYA- Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan rasa tidak puas hati dengan prestasi dan sikap ahli-ahli parti berkenaan.

Katanya, beliau mengetahui banyak amalan buruk dilakukan oleh ahli-ahli Bersatu menyebabkan parti yang ditubuhkan pada September 2016 itu tidak mampu menunjukkan pretasi yang membanggakan.

“Saya tidak berpuas hati dengan Bersatu.

“Kami menemui amalan-amalan yang buruk contohnya, jika anda dipilih untuk menjadi Ketua Bahagian, anda tidak mahu orang lain menyertai Bersatu.

“Ini kerana ahli baharu itu mungkin boleh menggantikan anda jadi anda lebih rela melihat Bersatu kecil (dari segi jumlah ahli).

Ini menyebabkan jumlah keahlian sangat sedikit,” katanya semasa temubual khas sempena ulang tahun pertama Kerajaan Pakatan Harapan di sini, Isnin lalu.

Jelas Dr. Mahathir, jumlah keahlian yang kecil menyebabkan parti tersebut sukar untuk menggerakkan jentera sekiranya berlaku pilihan raya kecil.

Tambahnya, budaya politik orang Melayu juga telah berubah.

Beliau turut menyindir sikap sesetengah pemimpin Bersatu yang tidak mempunyai kelulusan tetapi tetap mahukan jawatan di dalam parti.

“Saya melihat perubahan ini selama 70 tahun apabila kita mula-mula menubuhkan UMNO.

“Orang ramai mengumpulkan wang malah menggunakan wang dari poket sendiri, mereka tidak minta apa-apa, mereka tidak minta untuk dilantik sebagai ketua dan sebagainya.

“Malah, terdapat ramai orang yang saya cadangkan untuk menjadi calon menolak kerana mengaku tidak berkelayakan.

“Tetapi perkara sedemikian sudah tidak berlaku lagi sekarang. Meskipun anda lulus Tahun Satu, anda rasa anda layak menjadi Perdana Menteri. Itu hak anda.

“Perkara ini bukan sahaja terjadi kepada Bersatu malah parti-parti Melayu yang lain,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

=