Home Nasional PH sudah salah arah, prestasi kerajaan mengecewakan

PH sudah salah arah, prestasi kerajaan mengecewakan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan hak asasi manusia pula melahirkan kebimbangan serta kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana terlalu banyak daripada kandungan manifesto hanya sekadar janji dan mendapati mereka takut melakukan pembaharuan.

Malah segala macam janji serta perubahan berkaitan dengan hak asasi kemanusian juga tidak lebih daripada mengecewakan setelah hampir setahun menerajui negara daripada tampuk pemerintahan terdahulu, kerajaan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengarah Human Rights Watch (HRW) Asia, Phil Robertson mengakui pihaknya amat teruja dengan semua jenis janji reformasi yang terkandung dalam manifesto PH sebelum ini namun sehingga kini kerajaan hanya melakukan usaha yang sedikit sahaja.

Kata Robertson, kerajaan telah sama sekali gagal dalam melaksakan pembaharuan institusi dan undang-undang bagi pengukuhan hak asasi seperti janji manifesto sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“PH sudah berkuasa untuk tempoh setahun ini, namun apa yang dijanjikan oleh mereka sebenarnya telah gagal dilaksanakan. Hanya sedikit sahaja.

“Secara jujurnya, hanya pada awal sangkaan dan harapan kita, momentum itu sangat tinggi, harapan tinggi menggunung. Hakikatnya, kini kita rasa rasa sudah tersasar dan salah jalan.

“Ikrar PH bagi memastikan rekod hak asasi manusia dihormati seluruh dunia itu hanya sekadar janji yang belum dapat dicapai,” katanya dalam sidang media bersama dengan Amnesty International (AI) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif AI, Shamini Darshini Kaliemuthu yang turut melahirkan kebimbangan beliau dengan prestasi ditonjolkan PH khasnya dalam isu-isu berkaitan hak kemanusian di negara ini.

Sebelum ini, kerajaan PH dalam manifesto mereka telah berikrar untuk melakukan pembaharuan serta reformasi hal-hal berkaitan hak asasi kemanusian termasuklah pembaharuan institusi serta undang-undang seperti penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Juga Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (Sosma), dan Akta Majlis Keselamatan Negara selain daripada janji kerajaan mahu menghapuskan hukuman mati sepenuhnya pada Oktober tahun lepas.

Kata Robertson lagi, ada juga pembaharuan yang cuba dilakukan oleh kerajaan PH namun akhirnya akan bertindak menarik diri, tanpa mengulas lanjut beliau hanya memberi conto seperti ratifikasi Statut Rom dan ratifkasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Kerajaan PH nampaknya teragak-agak dan takut untuk bergerak ke depan seperti dalam perkara berkait ICERD dan ratifikasi Statut Rom baru-baru ini.

“Kami di New York amat gembira dengan keputusan kerajaan pada awalnya dalam ratifikasi Statut Rom namun pada saat-saat akhir tarik diri pula. Kami binggung selepas kebimbangan untuk tandatangan kerana Raja Raja Melayu,” ujarnya lagi.

Robertson menambah, ada baiknya jika kerajaan mempercepatkan segala usaha yang melibatkan kepentingan hak asasi secara keseluruhan sebelum momentum itu terus pudar dalam kalangan rakyat secara perlahan-lahan.

“Tempoh setahun yang kita katakan ini bukanlah satu tempoh yang amat singkat seperti sangkaan anda. PH juga telah melepasi tempoh satu tahun, dan belum terlambat untuk melakukan perubahan pada masa ini.

“Jika tidak dalam setahun dua akan datang, kita sudah bercakap tentang pilihan raya yang akan datang,berwaspadalah. Jangan biar momentum itu hilang dan pudar,” katanya. –MalaysiaGazette