Home Nasional Najib akan cabar pelucutan hak oleh kerajaan, PDRM – Shafee

Najib akan cabar pelucutan hak oleh kerajaan, PDRM – Shafee

Datuk Seri Najib Razak bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Tindakan memfailkan saman pelucutan hak terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dianggap terburu-buru dan tidak adil.

Malah saman itu juga telah dikenakan terhadap beberapa induvidu lain bagi tujuan menyita barang-barang mewah yang didakwa dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut peguam Najib, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah, pihaknya akan memfailkan saman kembali bagi mencabar rasional pelucutan hak tersebut dalam masa terdekat.

Katanya, bukan sahaja pihak sana (kerajaan dan PDRM) sangat terburu-buru dalam mengenakan anak guamnya sebaliknya tindakan itu sebenarnya juga mustahil untuk dilakukan.

“Kita juga akan dan mencabar tindakan saman itu, saya sebenarnya tidak fikir mereka boleh lakukannya,” tegas Muhamad Shafee ketika di temui media di luar perkarangan kompleks Mahkamah sebentar tadi.

Beliau mengulas tentang dua notis usul dan afidavit sokongan telah difailkan di Mahkamah Tinggi semalam bagi merampas barangan bernilai RM711 juta daripada individu terbabit.

Media melaporkan ini merupakan tindakan susulan daripada penyitaan barang-barang berharga yang dirampas pihak polis tahun lalu di Bukit Bintang dan beberapa tempat lain, selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

Notis pertama yang difailkan ialah untuk merampas harta di Lembah Klang, wang tunai termasuk mata wang asing, barang kemas, beg tangan, jam tangan dan cermin mata hitam yang bernilai RM680 juta.

Notis yang kedua pula adalah bagi merampas barangan bernilai RM31 juta termasuk, 27 kereta mewah, wang tunai termasuk dalam mata wang asing, 29 akaun bank, serta lebih banyak jam berserta beg tangan.

Peguam Negara, Tommy Thomas mengesahkan persetujuan Amerika Syarikat (AS) untuk memulangkan sejumlah sebanyak AS$57.04 juta (RM233.7 juta) yang disita daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat pembikinan filem yang berpangkalan di AS.

Red Granite Pictures juga dikaitkan dengan Najib dan anak tirinya, Riza Aziz yang didakwa telah dicuri untuk membiayai filem.

Tahun lalu, pihak polis dilaporkan melakukan operasi serbuan di beberapa kondominium mewah di Bukit Bintang dan tempat lain untuk mengesan pelbagai barangan berharga lain. –MalaysiaGazette