KUALA LUMPUR – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkongsi pengalaman bangun sahur bersama rakan pasukannya yang berbangsa Melayu dan cerita lucu yang pernah dilaluinya ketika bulan Ramadan.
Menerusi Instagramnya, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, bulan puasa tidak asing baginya kerana sejak menceburi dunia sukan kerana mempunyai rakan pemain daripada latar belakang pelbagai kaum.
Malah ujar beliau, pengalaman bangun sahur bersama teman pasukan yang berbangsa Melayu adalah satu kenangan terindah baginya.
“Paling seronok, waktu latihan dan perlawanan ketika di bulan puasa. Sahur beramai-ramai dengan pasukan dan pemain-pemain lain, itu salah satu kenangan terindah saya.
“Ketika waktu latihan, ada rakan yang berpuasa. Kita hormat, nak minum air, kita minum air di hujung gelanggang. Ada juga cerita kelakar, kadang-kadang ada juga suruh saya jadi tukang tapau (bungkus makanan),” tulisnya.
Chong Wei juga berkongsi lagu yang menjadi kegemarannya di bazar Ramadan adalah Isabella nyanyian kumpulan Search.
Bapa kepada dua anak itu turut tidak ketinggalan mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan menjalani ibadah berpuasa kepada seluruh kenalan beliau yang beragama Islam.
Beliau turut mengingatkan kaum lain agar menghormati rakan-rakan Muslim mereka yang sedang menjalani ibadah rukun Islam yang ketiga itu.
Perkongsian tersebut mendapat lebih 51,000 tanda suka di kalagan pengikutnya dan mereka juga tidak lupa mendoakan agar bintang legenda sukan kebanggaan negara ini kembali sihat sepenuhnya. – MalaysiaGazette