PETALING JAYA – Masih ada sekurang-kurangnya tiga menteri yang dilihat sebagai “mengelak media” termasuk jarang mengadakan pengumuman melalui media.
Pengarah Editorial Sinchew Daily, Datuk Pook Ah Lek berkata, selain jarang mengadakan sidang akhbar, menteri berkenaan juga selalu bergegas meninggalkan majlis selepas program selesai tanpa menemui media.
“Ini menonjolkan satu kelemahan besar Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika mengulas tentang prestasi kerajaan baharu selama setahun dalam kolum di Sinchew Daily.
Ah Lek berkata, kualiti menteri dan timbalan menteri kerajaan PH adalah bercampur aduk, malahan ada yang masih kurang yakin, terbelenggu isu kelayakan akademik tidak sah, malahan ada yang melontarkan “cadangan pelik” .
“Ada menteri yang mahir dalam pergaulan, tetapi ada juga yang tidak pandai bersosial; ada yang rajin belajar, tetapi ada juga yang membangkit cadangan ganjil,” katanya dalam rencana yang bertajuk “Saya memberi 50 markah” .
Ah Lek berkata, walaupun prestasi setahun PH tidak boleh dibandingkan dengan prestasi selama 61 tahun oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi ia juga tidak bermaksud PH boleh menuding jari kepada kerajaan terdahulu dalam semua hal.
Bekas Ketua Pengarang Sinchew Daily itu juga membangkitkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC) dan isu kuota matrikulasi yang mana PH dikatakan tidak berani sentuh.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan PH lebih pandai bercakap daripada bertindak.
“Mereka cakap dengan begitu elok, tetapi ia berakhir dengan pusingan-U, dasar ekonomi yang ketiadaan hala tuju, selain asyik menyalahkan kerajaan terdahulu,” katanya kepada China Press.
Ka Siong berkata, daripada semua menteri yang ada, hanya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh serta Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang layak menerima pujian.
“Gobind seorang yang pragmatik dan menjawab soalan dengan serius dan profesional semasa di Parlimen.
“Bee Yin pula lebih menumpu kepada Kementerian sendiri. Dia jarang mengkritik orang, tetapi menumpu kepada kementeriannya,” katanya. – MalaysiaGazette