KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memikirkan suatu mekanisme lain dalam meluaskan pendapatan negara, selain cadangan mengenakan caj levi pelepasan udara.
Ahli Dewan Negara, Senator Husain Awang berkata, cadangan itu memberikan implikasi bebanan kepada rakyat khususnya yang sedia terbeban dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta caj perkhidmatan lain.
“Walaupun perbahasan saya di Dewan Negara mengambil masa singkat, namun ada beberapa perkara yang saya ingin gariskan berkaitan implikasi pelaksanaan levi pelepasan udara ini yang perlu diperhalusi semula oleh kerajaan.
“Pertama, caj levi pelepasan udara ini satu tambahan bebanan kepada rakyat khususnya yang sedia terbeban dengan SST dan caj perkhidmatan lain.
“Apakah kerajaan tidak boleh memikirkan suatu mekanisme lain dalam meluaskan (diversity) pendapatan negara?” soal beliau dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan, levi pelepasan udara ke luar negara hanya dikenakan ke atas mereka yang keluar dari Malaysia melalui udara, bukan menggunakan laluan darat dan laut.
Ini susulan beberapa Ahli Parlimen yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka mengenai kemungkinan levi yang dicadangkan itu meliputi perjalanan rentas sempadan negara seperti Johor-Singapura, Malaysia-Thailand dan Sarawak-Brunei.
“Bukan, hanya melalui udara sahaja. Tidak ada (caj levi pelepasan) jika berkaitan dengan perjalanan darat atau pelabuhan, hanya perjalanan udara yang keluar dari Malaysia,” kata Guan Eng.
Menurut Husain, caj levi pelepasan boleh menjejaskan sektor pelancongan secara tidak langsung.
Katanya, berdasarkan kajian Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyatakan Malaysia akan menghadapi penurunan jumlah penumpang sebanyak 835,000 setahun yang berlepas dari negara ini jika caj levi pelepasan dilaksanakan.
“Ia suatu perkara yang perlu diperhalusi dengan lebih mendalam. Justeru, tindakan tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 yang dicadangkan adalah wajar.
“Jelas ia tiada keperluan bagi kerajaan untuk mewujudkan caj baharu yang dilihat membebankan rakyat serta memberi kesan pada sektor pelancongan di peringkat Asean khususnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette