Home Utama Selepas Wawasan 2020, Tun Mahathir lancar Kemakmuran Bersama 2030

Selepas Wawasan 2020, Tun Mahathir lancar Kemakmuran Bersama 2030

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 09 MEI 2019

PUTRAJAYA- Sesebuah negara pesat dan makmur bukan hanya bergantung kepada pernilaian melalui angka-angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sahaja tetapi setiap pembangunan dan kekayaan mesti diagihkan dengan lebih adil supaya dapat dinikmati oleh semua rakyat.

Dengan itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini melancarkan inisiatif Kemakmuran Bersama dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan iklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa harmoni kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang 2030.

Jelasnya pendekatan Kemakmuran Bersama bermaksud kuasa beli semua rakyat dapat ditingkatkan dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan yang melampau (extreme disparity in supply chain).

“Sepanjang dekad lalu, ekonomi negara telah berubah secara radikal dan ini telah menyebabkan hasrat menjadi Negara Maju seperti disandarkan di dalam Wawasan 2020 tidak tercapai.

“Pendapatan tinggi tidak bermakna mewah. Realitinya walaupun KDNK dan nilai pendapatan negara meningkat, namun nikmat kekayaan negara tidak dapat dirasai oleh rakyat kerana dengan hanya berpendapatan tinggi tetapi daya keluaran (produktiviti) ditahap lama, maka kos barangan dan khidmat akan menjadi tinggi, sara hidup akan meningkat. Dengan ini pendapatan yang tinggi tidak akan menaikkan daya beli kita.

“Model Ekonomi dekad lalu hanya menumpukan kepada penambahan hutang negara untuk projek-projek mega, peningkatan jumlah pekerjaan yang 70 peratus darinya adalah terdiri dari pekerjaan berkemahiran rendah, pemilikan ekuiti negara lebih banyak bertukar kepada pemilikan asing, pertumbuhan ekonomi hanya terfokus kepada beberapa bandaraya utama negara dan mengenepikan pertumbuhan dan pemilikan ekuiti dan peluang kepada rakyat tempatan,” katanya semasa menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di sini.

Tambah Perdana Menteri, inisiatif Kemakmuran Bersama akan dibangunkan bagi mencapai tiga objektif utama iaitu memastikan jurang pendapatan dan kekayaan rakyat dapat ditangani.

Objektif kedua adalah model pembangunan baharu untuk semua yang bermaksud mencipta ekonomi yang lebih berstruktur, progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat di setiap ringgit.

Manakala objektif ketiga adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih cemerlang dan menjadi salah satu paksi ekonomi penting di Asia.

Menurut Dr. Mahathir, kehebatan sesuatu perancangan tidak memberi apa-apa makna jika perlaksanaan dan pemantauan untuk memastikan keberhasilannya tidak dilakukan

Tambah beliau, komitmen ini menuntut semua pihak untuk bekerja bersama-sama secara bersungguh-sungguh sebagai satu negara supaya rakyat seluruhnya dapat menikmati Kemakmuran Bersama dalam sebuah negara Malaysia yang betul-betul maju, bermaruah dan merdeka.

Kerajaan katanya, akan terus berusaha bagi memastikan semua inisiatif di bawah Janji Kerajaan dipenuhi supaya pencapaian pada masa akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat berlandaskan perkongsian kemakmuran.- MalaysiaGazette