KUALA LUMPUR – Tapak Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) bakal dimeriahkan dalam satu festival jualan sepanjang 72 jam tanpa henti bermula pukul 12.01 pagi, pada 24 Mei dan berakhir pada jam 12.01 pagi, pada 26 Mei nanti.
Dikenali Festival Gegar Gempak Raya 2019, acara itu dibawakan khas oleh Aisy Azka Event Management Services akan menampilkan 44 orang selebriti popular tempatan yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan instafamous.
Antara yang terlibat Alif Satar, Elyana, Ernie Zakrie, Ezzaty Abdullah, Nabil Ahmad, Izzue Islam, Syamel, Sharnaaz Ahmad, Arja Lee, Noraniza Idris, Ayu Damit, Reyhana dan ramai lagi.
Selain aktiviti jualan, Festival Gegar Gempak Raya 2019 turut menyediakan fiesta trak makanan yang turut akan berkampung selama tiga hari bermula 4 petang sehingga 5 pagi sepanjang festival.
Dengan kehadiran lebih 150 buah trak makanan, festival ini juga akan membuat percubaan bagi memecah rekod bagi Largest Foodtruck Gathering di bawah Malaysia Book of Records.
Pengarah Urusan Aisy Azka Event Management Services, Anuar Mohd. Azmi berkata, tujuan utama festival ini diadakan adalah untuk memudahkan masyarakat setempat membeli persiapan menjelang Aidilfitri dan dalam masa yang sama membantu usahawan meningkatkan ekonomi mereka.
“Sewa tapak perniagaan yang ditawarkan tidak terlalu tinggi berbanding tapak festival sempena lebaran yang lain.
“Harap karnival ini menjadi titik permulaan usahawan untuk bergerak lebih jauh dalam perniagaan.
“Selain itu dapat memenuhi keperluan setempat dan memberi manfaat kepada peniaga dan pengunjung dengan lebih 200 jenama daripada pakaian, hiasan rumah, barang keperluan dan macam-macam lagi untuk persediaan menjelang hari raya.
“Festival ini juga mesra ibadah, memberi manfaat kepada pengunjung dan usahawan yang ingin menunaikan terawih berjemaah selain dari berbuka puasa piknik bersama keluarga.
“Kami menyediakan khemah besar yang boleh memuatkan 400 orang jemaah untuk solat terawih. Kami juga akan menjemput ustaz berbeza untuk mengimamkan solat terawih sepanjang program berlangsung,” katanya pada sidang media festival Gegar Gempak Raya 2019 di Hotel Dorset Putrajaya baru-baru ini.
Tambah Anuar, aktiviti kemasyarakatan yang diberi nama GGR Kongsi Kebahagiaan turut diadakan pada festival tersebut.
“Pada 25 dan 26 Mei, aktiviti rewang penyedian bubur lambuk, memasak rendang dan menganyam ketupat akan diadakan dan boleh disertai oleh orang awam.
“Dalam kita bergembira untuk menyambut hari raya, festival Gegar Gempak Raya 2019 tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik. Pada hari terakhir festival, kami akan mengadakan majlis berbuka puasa bagi meraikan warga emas dan orang kurang upaya.
“Selain itu, setiap satu peratus sewa tapak akan dimasukkan ke tabung untuk diagihkan kepada rumah kebajikan,” katanya. – MalaysiaGazette