Home Nasional Siri penerangan Statut Rom cubaan pengaruhi pandangan awam

Siri penerangan Statut Rom cubaan pengaruhi pandangan awam

Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Kehadiran Peguam Negara dalam beberapa siri penerangan berhubung Statut Rom memberi bayangan bahawa kerajaan sedang berusaha  bersungguh-sungguh mempengaruhi pandangan awam untuk berhubung perjanjian itu.

Tindakan itu bukan sahaja menyanggah keputusan Majlis Raja-Raja, sebaliknya usaha itu akan hanya memperlihatkan institusi Raja Perlembagaan di negara ini ‘diserang’ dengan sindiran pedas dan pahit.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Peguam Negara tidak seharusnya menggunakan forum terbuka untuk menyerang keputusan konsensus Majlis Raja-Raja, malah Tommy Thomas tidak sewajarnya menggunakan nada sinis dan bercakap tentang hilangnya kekebalan Raja-Raja.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mempersoalkan siapa Peguam Negara untuk membangkitkan isu itu selepas keputusan konsensus Majlis Raja-Raja berhubung ratifikasi Statut Rom sudah diputuskan.

“Saya beranggapan, Peguam Negara terlebih biadap, penuh helah dan menghampiri garis derhaka. Peguam Negara tidak sewajarnya tampil mempertahan “kelemahan” diri sendiri dalam mengemukakan hujah serong.

“Duli Tuanku sudah bertitah. Keputusan konsensus Majlis Raja-Raja muktamad. Siapa Peguam Negara ingin membangkitkan isu ini semula? ,” kata Ahli Parlimen Kepala Batas itu.

Malah, katanya, kenyataan Peguam Negara berkenaan kuasa isytihar perang misalnya, adalah amat serong dan terkhilaf kerana daripada segi teknikal undang-undang berdasarkan kepada Perkara 39, 74, 80 dan butiran 2(e) Jadual Kesembilan jelas memberikan kuasa kepada Parlimen untuk mengisytiharkan peperangan.

Berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama bagi Persekutuan [Fasal (1) Perkara 32(1)], juga mempunyai kuasa mempunyai kuasa eksekutif Persekutuan [Perkara 39], merupakan pemerintah tertinggi angkatan tentera [Perkara 41] dan adalah salah satu daripada tiga tonggak utama yang membentuk Parlimen Malaysia [Perkara 44].

“Bersendikan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu tadi, amat mudah difahami, perkara 32, 39, 74, dan 44 jelas menunjukkan bahawa YDPA merupakan antara individu yang memainkan peranan dan mempunyai kaitan langsung dengan proses membuat keputusan/undang-undang tersebut dan memberikan untuk melaksanakan keputusan/undang-undang tersebut dalam kapasiti sebagai Ketua Negara, Parlimen dan kuasa eksekutif.

“Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol di dalam Perlembagaan Persekutuan, malahan dilihat sebagai entiti yang mempunyai peranan yang sangat jelas dalam pentadbiran dan urusan undang-undang negara.

“Oleh itu, hujah bahawa hak dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong tidak terkesan sama sekali dengan penyertaan Statut Rom adalah amat longgar dan tidak tepat.,” tambahnya.

Kalaupun mahu mempertahan hujah, Tommy perlu menggunakan fakta yang lebih padu dan ampuh dengan tidak menyalahkan berita palsu jika beliau sendiri mempunyai pemahaman Perlembagaan yang longgar dan terlalu liberal.

Lantaran itu, katanya, seorang Peguam Negara yang celupar dan gagal menyantuni pendirian Yang di-PertuanAgong dan Majlis Raja-Raja sudah tidak layak berada dalam jawatan itu.

“Berundurlah dari jawatan jika kesetiaan dan kejujuran tidak lagi dapat diberikan kepada Raja-Raja dan Perlembagaan Negara. Tindakan PeguamNegara yang menyeleweng Perlembagaan mengikut kehendak sendiri semata-mata mahu memusnahkan martabat institusi perundangan negara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan dan Kabinet bertanggungjawab untuk meletakkan titik noktah kepada kekeliruan yang kian berlanjutan ini.

Reezal juga menegur kerajaan apabila pandangan rakyat termasuk mufti terhadap apa yang berlaku mutakhir ini tidak wajar dianggap “pekak” dan “tuli”.

Jelasnya, yang sebenarnya pekak adalah mereka yang menganggap diri mereka baik dan hebat sepanjang masa. – MalaysiaGazette