Home Nasional Kadar fi rundingan, tatacara dibincang dengan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup

Kadar fi rundingan, tatacara dibincang dengan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup

Datuk Seri Dr. Zulkefly Ahmad. foto NOOREEZA HASHIM, 20 MAC 2019.
Dr. Zulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR –  Kementerian Kesihatan Malaysia akan berbincang dengan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara mengenai cadangan pindaan pelarasan kadar fi perundingan dan tatacara bagi klinik perubatan am dan swasta sebelum dibawa ke kabinet semula untuk kelulusan.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau juga akan mempengerusikan satu sesi perjumpaan dengan pemegang-pemegang taruh terlibat bagi menjelaskan pindaan serta merungkaikan beberapa dakwaan yang berkaitan.

“Sebelum ini satu memorandum telah dibentangkan ke mesyuarat kabinet mengenai cadangan pindaan berkenaan,” katanya.

”Memorandum ini bertujuan membuat pelarasan kadar fi perundingan dan fi tatacara bagi pengamal perubatan am yang memberikan perkhidmatan di klinik perubatan am swasta, dengan kadar fi bagi pengamal perubatan am yang bertugas di fasiliti berlesen.

Sementara jemaah menteri memahami keperluan dan rasional cadangan pindaan tersebut, mesyuarat mencadangkan supaya perkara ini dibincang terlebih dahulu dalam mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara seterusnya dibentangkan semula untuk pertimbangan dan persetujuan jemaah menteri,” katanya.

Dzulkefly berkata, dalam perjumpaan dengan pemegang taruh berkenaan beliau juga akan membincangkan isu-isu lain berkaitan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta.

Tarikh perjumpaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat, katanya. – MalaysiaGazette