KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mendesak agar presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan mandat untuk memerintah Putrajaya dalam masa dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Naib Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, janji ketika penubuhan PH untuk mengangkat Anwar bagi mengambil alih tampok kepimpinan negara haruslah dipenuhi.
“Tempoh masa peralihan kuasa di antara 2 tahun ke 2 tahun setengah adalah tempoh yang wajar dipertimbangkan sebelum penggal ini berakhir.
“Peralihan kuasa tidak boleh berlaku lewat dari tempoh 3 tahun dan tidak boleh dilihat tergesa-gesa. Pelan peralihan kuasa perlu disusun rapi bagi memastikan kestabilan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sekiranya pelan peralihan berlaku terlalu lewat, ia akan menyukarkan Anwar untuk membentuk corak pemerintahan negara kerana tempoh masa penggal berakhir terlalu hampir.
“Justeru wajarlah Anwar diangkat sebagai perdana menteri dalam tempoh 2 tahun ke 2 tahun setengah.
“Sebelum peralihan kuasa berlaku, saya menyeru seluruh kepimpinan dan pendukung PH untuk terus memberikan sokongan padu dibawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya lagi.
Semalam, Dr Mahathir berkata, Anwar tidak perlu mengikut arahannya apabila dia mengambil alih jawatan perdana menteri.
Presiden PKR itu juga tidak perlu mengikut apa yang telah dia lakukan.
“Dia bebas untuk buat apa yang difikirnya terbaik sebagai perdana menteri. Jadi, saya tak boleh kata apa-apa selepas itu.
“Tugas saya ialah persiapkan negara agar ia boleh diambil alih oleh pengganti saya,” kata Dr Mahathir. -MalaysiaGazette