KUALA LUMPUR – Sebanyak 31 kawasan yang masih terjejas ekoran tiga paip utama pecah berhampiran Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping dijangka mendapat bekalan air selewat-lewatnya Ahad ini.
Setakat ini 69 peratus daripada 65 kawasan yang terjejas sudah pun menerima bekalan.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd berkata, pihaknya sudah pun memulakan proses kerja-kerja pembaikan sejurus berlaku kejadian paip pecah pada 4 Mei lalu dan kerja-kerja tanpa henti itu telah siap pada 6 petang pada 7 Mei.
Namun bekalan yang diaktifkan berlaku kebocoran di beberapa lokasi lain di jajaran paip utama mengakibatkan tempoh pemulihan air tidak dapat dicapai kerana terpaksa melakukan penutupan semula bekalan.
Malah, insiden pergerakan tanah beberapa kali sepanjang tempoh pembaikan juga menyumbang kepada kelewatan kerja.
Ini kerana, jika kerja-kerja diteruskan ia akan mendatangkan risiko yang berkemungkinan besar mengakibatkan insiden yang lebih kritikal.
Disebabkan itu, Pengurusan Air Selangor telah melaksanakan tindakan alternatif bagi penyaluran bekalan air melalui sistem agihan yang lain dari sumber air terawat yang sama iaitu Kolam Lam Bee ke Kolam Lipat Kajang dan Kolam Bukit Rajah Industri.
“Dengan tindakan ini kami dapat memulakan pemulihan bekalan air pada hari Rabu lalu dan mensasarkan 45 kawasan yang menerima bekalan dari Kolam Terminal Lipat Kajang akan pulih berperingkat pada hari Khamis manakala pelanggan yang menerima bekalan melalui Kolam Bukit Rajah Industri menerima pemulihan pada pukul 3 petang, 10 Mei 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, sebagai langkah jangka panjang dan memulihkan kembali sistem bekalan air ke kawasan-kawasan ini, Pengurusan Air Selangor akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk melaksanakan kerja-kerja pemasangan dan pengalihan paip utama malam tadi dan dijangka siap pada Ahad ini.
Bagaimanapun, bantuan lori-lori tangki air masih terus digerakkan dan 4 Pusat Khidmat Setempat terus diaktifkan 24 jam hingga bekalan pulih sepenuhnya.
Lokasi Pusat Khidmat Setempat adalah seperti berikut :
-
PKS Bandar Sultan Suleiman – Masjid As-Saadah, Lingkaran Sultan Abd Samad 2
-
PKS Bandar Parkland – Taman Rekreasi, Jalan Delima 8
-
PKS Taman Sri Andalas – Tapak Parkir Taman Rakyat, Jalan Tun Dr. Ismail
-
PKS Batu Belah – sebelah Aeon Big, Jalan Kapar – MalaysiaGazette