KUALA LUMPUR – Kemakmuran Bersama akan menjadi falsafah yang mendasari penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13 sehingga mewujudkan satu taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia menjelang tahun 2030.
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) mendukung sepenuhnya 7 Teras Strategik yang dicerakinkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri untuk memelopori matlamat Kemakmuran Bersama.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Pelaksanaan gagasan tersebut akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menerusi pembangunan secara mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi.
MEA telah memulakan langkah pelaksanaan Teras Strategik Ke-6, Pembangunan Wilayah yang Inklusif, untuk menangani jurang pembangunan antara wilayah.
Justeru itu, katanya, kementerian ini telah meluluskan projek-projek pembangunan dan infrastruktur yang bernilai RM4.8 bilion di Kedah dan RM1.4 bilion di Kelantan bagi membangunkan pusat-pusat ekonomi yang komprehensif di seluruh pelosok negara.
Sebagai kementerian yang memberikan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang adil, MEA turut akan memberikan tumpuan kepada penciptaan industri-industri baru seperti yang diungkapkan dalam Teras Strategik Ke-2, Sektor Pertumbuhan Baru bagi menjana ekonomi negara kepada aras yang lebih tinggi dan relevan dengan perkembangan zaman.
Ledakan teknologi baharu dalam era Revolusi Industri 4.0 menuntut pelaburan dan pengwujudan kapasiti dalam 15 sektor cadangan sebagai Bidang Pertumbuhan Utama Ekonomi, antaranya Industri Kandungan (Hiburan dan Digital), Hub ASEAN (Logistik, Teknologi, Penyelidikan dan Pejabat Wilayah) serta Pertanian Pintar (Smart Agriculture) dan Bernilai Tinggi. – MalaysiaGazette