KUALA LUMPUR- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Delegation of Nurses (DON) memaklumkan perbicaraan antara seorang selebriti, Linda Rafar dengan seorang jururawat dianggap telah selesai.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi mereka, DON yang menjadi pemudah cara kepada jururawat itu berkata kedua-dua pihak setuju menyelesaikannya di luar mahkamah.
Antara persetujuan yang dicapai ialah selebriti tersebut akan membuat permohonan maaf melalui Instagram miliknya atas tindakan menularkan gambar jururawat tersebut dahulu, kata DON lagi.
Bagaimanapun seorang doktor tampil mempertikai permohonan maaf tersebut kerana menurutnya tidak merujuk secara langsung kepada jururawat yang terlibat.
“Malangnya bila saya baca permohonan maaf di Instagram milik selebriti tu. Dia masih punya ego melangit.
“Langsung tak sebut spesifik pada jururawat yang difitnahnya. Perkataan jururawat pun tak ada. Itu macam minta maaf nak sambut hari raya,” katanya menerusi Facebook itu.
Beliau berkata yakin itu bukan permohonan maaf terbuka seperti yang dipersetujui pihak jururawat tersebut dan meminta DON memandang serius perkara itu.
Semalam pelakon Linda Rafar tampil memohon maaf secara terbuka dalam isu pertelingkahannya dengan seorang jururawat tidak lama dulu.
Mengambil berkat Ramadan, dia berkata tidak mahu menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak yang didakwa pernah memfitnahnya.
“Ketika sidang akhbar terakhir saya, saya berasa marah, dikhianati, dihina dan sedih kerana pemergian ibu tidak menghentikan buli siber terhadap saya. Hati saya penuh kemarahan.
“Peguam saya menghantar notis kepada ratusan orang yang memfitnah tetapi hati saya tidak tenang.
“Sempena bulan Ramadan ini, saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf jika saya ada menyakitkan hati sesiapa. Saya juga memaafkan mereka yang memohon maaf,” katanya di Instagram. – MalaysiaGazette