Home Utama Saya yang pujuk Adam, dia mengamuk bukan sebab Agong!

Saya yang pujuk Adam, dia mengamuk bukan sebab Agong!

KUALA LUMPUR – Seorang bekas panglima mendedahkan peristiwa amukan berdarah di Chow Kit oleh Prebet Adam Jaafar kira-kira 32 tahun lalu adalah berpunca daripada kes penderaan yang dialami anggota tersebut di kem tentera, bukan disebabkan angkara Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar.

Leftenenan Jeneral (B) Abdul Ghani Abdullah berkata, beliau berani berkata demikian kerana beliaulah pegawai tentera yang bertanggungjawab memujuk Adam untuk menyerah diri sewaktu anggota tersebut bersembunyi di sebuah bangunan dekat Kampung Baru dalam insiden pada tahun 1987 itu.

Ketika itu, katanya, Adam diburu kerana melepaskan tembakan membabi-buta sehingga mengorbankan seorang pejalan kaki yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

MGF09052019_OWH MG JENERAL GHANI05
Temubual Eksklusif bersama Jeneral (B) Datuk Abdul Ghani Abdullah di kediamannya di Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 MEI 2019

“Cerita kononnya Adam mengamuk selepas adiknya dibunuh oleh Sultan Iskandar timbul lama selepas itu. Adam sebenarnya menjadi mangsa deraan emosi dan fizikal oleh seniornya di dalam kem hingga menyebabkan dia hilang pertimbangan sampai tercetusnya insiden amuk tersebut.

“Adam telah bersumpah di depan saya beliau tidak ada adik yang bekerja sebagai kedi golf, apatah lagi yang dibunuh oleh Agong, dia juga ada buat pengakuan bersumpah di mahkamah mengenai perkara tersebut.

“Malah anggota tentera yang mendera Adam juga telah dihukum di mahkamah tentera di atas perbuatannya, saya tak nampak kenapa masyarakat masih nak mengaitkan isu dengan benda-benda yang tak betul,” tegasnya.

MGF09052019_OWH MG JENERAL GHANI10
Jeneral (B) Datuk Abdul Ghani Abdullah membaca buku bertajuk Konfesi Prebet Adam ketika ditemui di kediamannya di Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 MEI 2019

Dalam kejadian yang berlaku pada Oktober 1987 itu, Adam dilaporkan mengamuk di Chow Kit, Kuala Lumpur hingga meragut satu nyawa.

Ekoran daripada insiden itu, timbul dakwaan Adam dikatakan mengamuk bagi menuntut bela di atas kematian adik lelaki yang kononnya dibunuh oleh Sultan Iskandar.

MGF09052019_OWH MG JENERAL GHANI01
Temubual Eksklusif bersama Jeneral (B) Datuk Abdul Ghani Abdullah di kediamannya di Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 MEI 2019

“Adam sebenarnya bukan nak bunuh sesiapa, dia hanya nak menakut-nakutkan orang sahaja dengan melepaskan tembakan tetapi malangnya salah sebutir peluru tadi terkena tanah dan melantun, sehingga terkena pada orang awam sampai menyebabkan kematian.

“Masa proses memujuknya untuk menyerah diri, saya menggunakan sentimen ibu dan kekasihnya, pada masa yang sama saya menggunakan pendekatan ‘anak dan bapa’.

“Memang saya terdedah dengan bahaya ketika itu, dia boleh bunuh saya tetapi saya tak ada masa untuk memikirkan risiko tersebut. Saya bagitahu Adam dalam tentera kita boleh menyelesaikan masalah ini tetapi dia perlu serah diri terlebih dahulu, akhirnya dia setuju,” ujarnya.

Dalam pada itu Abdul Ghani juga mahu masyarakat menutup isu itu kerana Adam telah pun menjalani hukuman akibat perbuatannya.

“Saya ingin nasihatkan agar tutup cerita tersebut kerana ia memang tidak benar (seperti yang didakwa), kita tidak sepatutnya lagi bercakap mengenai perkara ini, terimalah hakikat.

“Perkara ini akan menyusahkan Adam juga, beberapa kali dia menafikan perkara ini tetapi orang masih bercakap perkara yang sama, ini akan menjejaskan perasaan dan pemikiran dia akhirnya,” kata Abdul Ghani – Malaysia Gazette