KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan pematuhan hak asasi manusia dalam operasi perniagaan dan kerjasama menyokong hak asasi manusia.
Memorandum berkenaan juga menyediakan rangka kerja merealisasikan prinsip hak asasi menusia selaras dengan Garis Panduan Prinsip Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (UNGP).
Kerjasama selama dua tahun ini menawarkan bantuan dan komitmen bersama antara ketiga-tiga pihak untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran berkaitan perniagaan dan hak asasi manusia di Malaysia.
Ia juga memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk mewujudkan pelan tindakan untuk memastikan pematuhan prinsip hak asasi manusia dan menganjurkan rundingan dengan pihak berkepentingan serta program pembangunan kapasiti.
Selain itu, Suhakam juga akan mengadakan lawatan lapangan dan aktiviti pemantauan bagi memastikan pematuhan standard hak asasi manusia.
MoU ini telah ditandatangani oleh Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail, Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad.
Turut hadir, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.- MalaysiaGazette