Home Utama Rakyat Malaysia di Korea Utara dalam perjalanan pulang

Rakyat Malaysia di Korea Utara dalam perjalanan pulang

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Sembilan warga negara Malaysia yang ditahan di Korea Utara kini dibenarkan pulang ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, mereka berlepas dari Pyongyang pukul 7.45 malam tadi dan dijangka sampai pukul 5 pagi esok.

“Saya ingin megucapkan terima kasih kepada pihak dari kerajaan Malaysia yang terlibat dalam perundingan yang diketuai Menteri Luar.

“Saya secara peribadi mengambil berat perkara ini dan bekerja secara intensif di sebalik kejadian bagi mencapai kejayaan,” katanya dalam kenyataannya di blognya sebentar tadi.

Menurut Najib, banyak halangan yang dihadapi bagi memastikan rakyat Malaysia di sana dibawa pulang.

“Keselamatan rakyat sentiasa menjadi prioriti utama saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kerajaan kini membenarkan rakyat Korea Utara yang berada di negara ini meninggalkan Malaysia.

Sementara itu, pihak koroner di negara ini juga sedia melepaskan mayat Kim Jong-nam ke Korea Utara selepas selesai menjalankan autopsi.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan percaya dan berpegang kepada prinsip keadilan dan kedaulatan negara.

“Polis kita akan meneruskan siasatan kes serius yang berlaku di negara kini dan saya telah mengarahkan sebarang langkah yang perlu bagi memastikan pembunuh itu ke muka pengadilan,” katanya.

Sebagai Perdana Menteri, Najib berbesar hati kerana semua rakyat Malaysia bersatu dalam menangani krisis yang berlaku atas semangat Negaraku.

Ia membuktikan yang kita akan dapat mencapai kejayaan kepada negara ini sekiranya bersatu hati.-MalaysiaGazette