KUALA LUMPUR – Kira-kira 100,000 kes remaja perempuan hamil bawah umur 19 tahun dilaporkan sejak 2013 sehingga kini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Beliau berkata, selain itu terdapat kira-kira 900 kes pembuangan bayi dilaporkan bagi tempoh sama.
“Daripada 900 kes pembuangan bayi yang dilaporkan, hanya 30 peratus daripada jumlah bayi itu masih bernyawa. Justeru, kerajaan kini sedang giat melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani masalah itu,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menjadi tetamu program bual bicara ‘The Nation’ terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama di sini hari ini antaranya usaha itu ialah kerjasama dengan Kementerian Pendidikan menambah baik silibus pendidikan seksual di sekolah yang perlu diikuti sejak remaja berusia 13 tahun.
“Pada masa ini ia dikenali sebagai Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Silibus bagi pendidikan seksual itu mula diajar kepada pelajar pada usia 15 tahun tetapi berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, gadis dan lelaki pada usia semuda 13 tahun sudah mula melakukan perkara yang tidak dingini,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memantau aktiviti anak-anak mereka di luar dan di dalam rumah kerana mereka mempunyai akses kepada dunia luar melalui telefon pintar dan internet.
Yeoh yang juga Anggota Parlimen Segambut berkata, kementeriannya juga sedang mengenalpasti hotspot kes-kes yang berlaku dan menunggu dapatan pemetaan daripada pihak polis serta perkongsian data daripada beberapa kementerian lain agar langkah yang lebih berkesan dapat dilakukan.
“Kita masih menunggu maklumat daripada polis kerana ‘mapping and data sharing’ ini sangat penting untuk mengetahui di mana hotspot mereka sama ada di dalam atau luar bandar…jika di bandar adakah di kawasan perumahan kos rendah atau kos mewah,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata, setakat ini sebanyak 191 nama disemak menerusi Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK) sejak sistem itu diperkenalkan bulan lepas.
Katanya, perkhidmatan semakan secara percuma itu disediakan bagi memudahkan mana-mana individu atau organisasi yang menguruskan kanak-kanak menyemak rekod jenayah seksual pekerja atau bakal pekerja mereka seperti pengasuh atau guru taska. – Bernama