Home Utama Takiyuddin hina Agong: Tanya peguam saya – Anwar Ibrahim

Takiyuddin hina Agong: Tanya peguam saya – Anwar Ibrahim

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat bekas pemain drum kumpulan Search, Yazid Ahmad di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 11 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan melayan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung status beliau sebagai bekas banduan.

Menurut beliau, kenyataan itu perlu dirujuk kepada peguam beliau samada ia menghina Yang di-Pertuan Agong atau tidak.

“Saya banyak lagi kerja daripada nak layan dia (Takiyuddin), baik tanya peguam (saya),” katanya ketika ditemui media dalam siri lawatan Ziarah Mahabbah Ramadhan ke rumah bekas pemain drum kumpulan Search, Yazid Ahmad.

Sebelum itu, Anwar bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus di Institut Jantung Negara (IJN).

Awal hari ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir menggesa Takiyuddin menarik balik dakwaan dan memohon maaf secara terbuka kerana menggelar Anwar sebagai seorang banduan.

Katanya, kenyataan Takiyuddin secara tidak langsung memperlekeh pengampunan diraja yang diberikan kepada presiden PKR itu.

Takiyuddin pada Rabu ketika menyampaikan ceramah di Taman Indah, Sandakan mempersoalkan sama ada Anwar sesuai menjadi perdana menteri kerana menurutnya status banduan adalah status seumur hidup biarpun setelah seorang itu keluar daripada penjara.

“Sebagai peguam kita tahu apabila seorang keluar daripada penjara status seumur hidup (nya) adalah banduan.

“Jadi mahu kita menjadikan seorang ini sebagai PM kita?” soalnya dengan hadirinya menjawab “Tidak.”

Pada 16 Mei 2018, Yang Di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kepada Anwar yang membawa maksud sabitan ke atas kes liwat II telah diketepikan terus dan Anwar dianggap sebagai bukan seorang banduan. – MalaysiaGazette