KUALA LUMPUR – Seramai 15 petugas media daripada pelbagai agensi menyertai program KEMM-VCI Cycling To Krabi 2017 yang melibatkan kayuhan sejauh 300 kilometer dari Pos Imigresen Wang Kelian, Perlis ke bandar Krabi, Thailand bermula esok.
Menurut Pengerusi Kelab Eksplorasi Media Malaysia (KEMM), Mohd. Azraie Md Yusof, eskpedisi yang mendapat kerjasaa Vertex Central Industries Sdn. Bhd. selaku penaja utama itu diadakan bagi membawa mesej keamanan dengan melakukan kerja-kerja kebajikan di lokasi terpilih sepanjang laluan ekspedisi.
“Program ini juga dianjurkan bagi membuktikan bahawa semasa menggalas rutin harian menyediakan berita atau informasi terkini untuk tatapan masyarakat umum, petugas-petugas media juga mampu melakukan aktiviti-aktiviti lasak serta mencabar dan menguji ketahanan mental dan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Majlis pelepasan peserta ekspedisi disempurnakan Raja Muda Perlis, Tunku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin di Padang Besar, Perlis semalam.
Ekspedisi yang bermula hari ini sehingga 4 April itu turut mendapat kerjasama daripada Tenaga Nasional Bhd., Felda Global Ventures Holdings Bhd., Risda, Petronas, Universiti Malaysia Perlis, Jamu Mak Dara, DBI Technology Sdn. Bhd., Time Reveal (M) Sdn. Bhd. dan Impact Media Communication (IMC).- MalaysiaGazette