Home Utama Isu kekurangan jururawat masih belum selesai

Isu kekurangan jururawat masih belum selesai

Jururawat-jururawat wanita yang hadir pada Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di MAEPS Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 12 MEI 2019.

SERDANG – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum meluluskan permohonan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah bilangan jawatan jururawat di negara ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, isu lambakan graduan kejururawatan dan kekurangan jururawat di negara ini masih belum dapat diselesaikan.

Ia juga masih jauh dari matlamat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menyasarkan nisbah seorang jururawat bagi 200 penduduk kerana ketika ini nisbah jururawat dengan populasi Malaysia masih lagi 1:300.

“Memang morotarium telah dikenakan kepada jawatan jururawat tetapi kami masih lagi memohon untuk mendapatkannya.

“(Semoga) kami diberikan penambahan (jururawat) dalam waktu munasabah iaitu ketika waktu ekonomi kita pulih dan bebas.

“Kami sedar (Malaysia kekurangan jururawat) dan kami masih menunggu kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Jururawat Antarabangsa di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada Jun tahun lalu, Dzulkefly memberitahu Bernama, KKM sedang berusaha untuk menangani isu kekurangan jururawat di negara ini dengan mengubah corak lantikan daripada jawatan tetap kepada kontrak.

Selain itu, kementerian juga katanya, memohon kebenaran untuk melantik graduan- graduan jururawat keluaran Institut Latihan Kementerian Kesihatan secara kontrak.- MalaysiaGazette