Home Nasional Mungkin PH lebih suka lihat penjawat awam merempat – Najib

Mungkin PH lebih suka lihat penjawat awam merempat – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Niat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menutup pengkhususan pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam menerusi Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan mendapat pandangan serius daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Najib, mungkin kerajaan PH tidak memikirkan tentang manfaat yang diterima rakyat dari inisiatif pemilikan rumah sendiri yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Kerajaan PH tidak berfikir seperti itu. Mereka telah umumkan bahawa inisiatif dan projek-projek PPA1M akan dihentikan serta-merta.

“Tidak lagi ada projek-projek perumahan yang khusus untuk penjawat awam. Inilah dia kononnya mahu membela nasib penjawat awam.

“Mungkin mereka lebih suka penjawat awam merempat merata,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu mengulas mengenai laporan MalaysiaGazette mengenai kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bahawa tiada lagi pengkhususan pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam.

Malah menurut Zuraida, kerajaan menggalakkan kesemua pembinaan kediaman jenis itu dimiliki oleh golongan B40 daripada pelbagai sektor yang layak demi memastikan kelestarian perhubungan dalam suatu komuniti.

“Bila ada penyelarasan dalam pembinaan perumahan, KPKT berharap agar dapat meningkatkan lagi mutu hidup penghuni, apabila kakitangan kerajaan, jururawat, cikgu dan kakitangan yang layak dapat berinteraksi dengan orang lain.

“Kerajaan tidak lagi mengkhususkan pembinaan rumah hanya untuk orang awam,” demikian menurut Zuraida.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan BN dahulu sedar akan rungutan serta kepayahan penjawat awam yang mahu memiliki rumah sendiri dengan ruang selesa pada harga mampu milik.

Ini kerana kekangan kewangan dan gaji sektor awam yang rendah mengakibatkan ramai penjawat awam ketika itu memilih untuk duduk dalam kuarters kerajaan ataupun menyewa tempat kediaman mereka sehingga mereka bersara.

“Sebab itu pada 2013, saya lancarkan inisiatif Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) khusus untuk penjawat awam memiliki rumah dengan harga 20% hingga 30% di bawah harga pasaran.

“Ekoran itu, berpuluh ribu keluarga penjawat awam telah atau sedang mendapat manfaat dari inisiatif ini. Ramai yang gembira dapat memiliki rumah sendiri,” kata Najib. – MalaysiaGazette

Tiada lagi rumah khusus untuk kakitangan awam