Home Nasional Prestasi sederhana, kerajaan diminta kurangkan politik sempit

Prestasi sederhana, kerajaan diminta kurangkan politik sempit

Majlis Belia Malaysia

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) mendesak kerajaan supaya mengurangkan politik sempit dan memperbaiki mekanisme perhubungan awam supaya setiap inisiatif baik yang dibuat dirasai oleh rakyat.

Kerajaan juga diminta untuk terus memberikan tumpuan penuh terhadap agenda pembangunan negara.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, MBM menyifatkan pencapaian setahun Kerajaan Pakatan Harapan adalah sederhana namun meminta supaya semua rakyat Malaysia memberikan ruang kepada kerajaan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan.

Katanya, menerusi pemerhatian MBM, pengundi muda terbahagi kepada dua kategori iaitu kelompok yang mahu melihat reformasi pentadbiran dan institusi dan satu lagi kumpulan adalah yang mengharapkan isu sara hidup mereka ditangani sebaiknya oleh kerajaan baharu.

Tambah Jufitri, MBM meminta kerajaan supaya mempercepat usaha penubuhan Jawatankuasa Kabinet menangani pengangguran dalam kalangan anak muda di samping berusaha keras untuk meningkatkan gaji minima ke paras RM1,800 sebulan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Kerajaan juga diminta untuk merealisasikan cadangan Iltizam Anak Muda seperti yang terkandung dalam Manifesto PH yang antara lain merangkumi elaun sara hidup pelajar miskin yang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.

Selain itu, inisiatif Food Bank yang telah digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu diperluas secepat mungkin.

MBM juga mendesak kerajaan untuk memperuntukkan dana latihan E-Usahawan dan E-Rezeki di bawah MDEC selain perlu mempermudah geran Agropreneur Muda yang agak ketat dan mengambil masa yang lama untuk diluluskan.

Kerajaan juga katanya perlu mengkordinasi dan menangani ekonomi dan sosial golongan belia B40 bandar khususnya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

MBM mahu kerajaan memuktamadkan segera polisi pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menghapuskan ujrah selain mempertingkatkan dana Perbadanan Tabung Pinjaman Kemahiran (PTPK).

Kerajaan dicadang menyeimbangkan limpahan pembangunan dan kemudahan di semua wilayah khususnya di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis, Kelantan dan Terengganu termasuk permintaan khusus belia Kelantan untuk memanjangkan stesen ECRL sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat;

Akses dan kelajuan internet perlu diperluas sehingga ke kawasan kampung seperti di kawasan Orang Asli di Lojing, Gua Musang bagi menggalakkan ekonomi digital dan mengelakkan penghijrahan belia ke bandar yang akan menyebabkan kemiskinan bandar, ujarnya.

“Anak muda yang mengundi untuk melihat nasib kantung ekonomi mereka terbela masih berasa kecewa kerana keadaan kehidupan mereka yang agak perit dan tertekan berikutan keadaan nilai ringgit yang masih lemah, tekanan hutang, pengangguran yang tinggi, pembuangan pekerja dan kos sara hidup yang tinggi.

“MBM akan terus memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak dan rakan strategik pembangunan Malaysia bagi bersama-sama membangunkan belia dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette