Home Nasional Sia-sia fogging kalau kereta terbiar jadi sarang aedes – Iskandar

Sia-sia fogging kalau kereta terbiar jadi sarang aedes – Iskandar

Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diingatkan tidak hanya melakukan semburan kabus atau fogging tanpa memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes yang tersembunyi terlebih dahulu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan, semburan itu hanya sia-sia dan tidak dapat membanteras wabak demam denggi sekiranya kereta-kereta terbiar tidak dialihkan dari kawasan perumahan.

“Apabila berlaku kes demam denggi, pihak yang bertanggungjawab akan melakukan fogging.

“Tetapi fogging ini mungkin sia-sia sahaja kerana kereta-kereta terbiar seperti ini menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

“Cermin belakangnya telah pecah dan air akan masuk ketika hujan. Air yang bertakung akan menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya dalam posting terbaru di Facebook miliknya, semalam.

Datuk Iskandar Abdul Samad
Status terbaru Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad di Facebook miliknya mengenai status kereta terbiar menjadi sarang pembiakan aedes di DUN Chempaka.

Naib Presiden Pas itu mendakwa, sekurang-kurangnya terdapat 10 kereta terbiar di kawasan DUN Chempaka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes tanpa dipedulikan oleh pihak MPAJ.

“Terdapat lebih kurang 10 buah kereta terbiar di sekitar tapak pasar malam hari Khamis flat Pandan Indah dan Surau Al-Amin, Taman Kencana.

“Saya pernah bangkitkan kes ini tetapi saya tidak nampak sebarang tindakan daripada pihak yang bertanggungjawab.

“Saya berharap MPAJ, polis, Ahli Parlimen, ADUN dan Ahli Majlis akan memberi perhatian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette