KUALA LUMPUR – Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menangkap seekor buaya seberat 500 kilogram di Sungai Pang Burung dekat Tawau selepas hampir sebulan reptilia itu diburu.
Pegawai JHL Tawau, Sailun Aris berkata, hari ini pada pukul 8.30 pagi, reptilia ganas berukuran 4.27 meter itu ditemui masuk ke perangkap yang dipasang pihaknya di kawasan sasaran.
Katanya, penangkapan buaya terbabit ekoran susulan laporan mengenai seorang warga emas yang ditemui maut selepas dipercayai diserang buaya pada 23 April lalu.
“Kita pasang perangkap besi tidak jauh dari mayat mangsa ditemui dan hari ini buaya yang dipercayai menyerang warga emas itu berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada 22 April lepas, seorang warga emas, Zainuddin Bedda, 61, warga Indonesia dilapor dibaham buaya di Sungai Pang Burung sebelum mayatnya ditemui keesokan hari dalam keadaan menyayat hati.
Mangsa, yang juga seorang pesara kilang sawit Pang Burung, dipercayai ke sungai pada 22 April pukul 7.00 pagi untuk mengambil sayur di tebing sungai kecil Pang Burung.
Bagaimanapun, sehingga pukul 6.00 petang mangsa dilaporkan tidak balik ke rumah dan mayat mangsa ditemui pada keesokan hari oleh pasukan bomba di Sungai Pang Burung. – MalaysiaGazette