Home Utama Rasuah: Reman Timbalan Pengarah Kanan DBKL disambung

Rasuah: Reman Timbalan Pengarah Kanan DBKL disambung

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tempoh reman Timbalan Pengarah Kanan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dua lagi orang awam yang sebelum ini direman lima hari berkaitan kes rasuah disambung empat hari lagi.

Manakala, seorang bekas pegawai menteri kerajaan terdahulu dan seorang lagi orang awam yang turut direman lima hari sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kedua-dua mereka dibebaskan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan diarah untuk menyerahkan pasport kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah sambung dan bebas reman itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim setelah membenarkan permohonan oleh SPRM.

Mereka sebelum ini direman selama lima hari bermula 9 Mei lepas untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Kelima-lima individu yang berusia antara 41 hingga 57 tahun itu ditahan SPRM di sebuah restoran di sekitar Kuala Lumpur kira-kira pukul 12 hingga 12.30 tengah malam 9 Mei lepas (Khamis).

Menurut sumber SPRM, berdasarkan siasatan awal SPRM, Timbalan Pengarah berkenaan didakwa menerima RM200,000 daripada kontraktor sebagai balasan memberikan kerja penambahbaikan insfrastuktur di bawah seliaannya.

Menurut laporan sebuah media sebelum ini, SPRM dilaporkan menemui wang tunai RM1 juta di rumah milik pegawai kanan DBKL itu di Ukay Perdana, Ampang.

— BERNAMA