KLANG – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan sistem Multi-Disciplinary Short Stay Unit (MDSU) di seluruh negara untuk mengurangkan masa menunggu dan masalah kesesakan di hospital bagi mendapatkan rawatan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, MDSU yang merupakan salah satu daripada program Penjagaan Kesihatan LEAN berupaya menempatkan pesakit dalam unit khas tanpa perlu dimasukkan ke wad tertentu.
“Saya mahukan (sistem) ini menjadi satu penanda aras atau Operasi Standard Prosedur (SOP) kalau boleh kita nak lancarkan seluruh negara.
“Sistem ini sangat sangat baik kerana dapat mengurangkan kesesakan dalam wad dan unit ini mengendalikan 72 jam dan rata-rata yang tinggal di unit itu 20 katil, pesakit tidak akan dimasukkan ke wad (tiada kes follow up).
“Mereka ditangani di situ, ada yang boleh dilepaskan dalam masa 48 jam dan paling lama 72 jam.
“Pesakit yang ditangani itu tidak kembali lagi selepas dilepaskan, kerana ada kriteria inklusi dan eksklusi,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerjanya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini.
Dzulkefly juga mengiktiraf MDSU sambil menyifatkan sistem yang digunakan kali pertama di HTAR sebagai amalan terbaik Penjagaan Kesihatan LEAN dan ia perlu dipraktikkan di semua hospital khususnya di Lembah Klang.
“Sistem ini dapat menangani peningkatan jumlah pesakit di hospital-hospital di Lembah Klang sepanjang tahun khususnya di Jabatan Kecemasan serta jalinan kerjasama dengan hospital dan klinik swasta,” katanya.
Beliau mengharapkan dengan kecekapan serta pengalaman jururawat di barisan hadapan hospital dan kombinasi sistem MDSU ini dapat memastikan masalah kesesakan dan masa menunggu dapat dioptimumkan.
“Bed Management Unit saya perhatikan satu inovasi yang sangat baik bekerja bersekali dengan seorang petugas IT dan jururawat.
“Hari ini tiada yang canggih Artificial Intelligent, dia guna sistemĀ in house build up menggunakan IT dan paling penting pengalaman jururawat dan doktor.
“Mereka datang dengan satu sistem yang boleh mengenal pasti mana pesakit nak diletakkan, di wad mana pada masa sebenar dan ini adalah pengurusan paling efektif,” katanya. – MalaysiaGazette