KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) merayu kerajaan Pakatan Harapan mengekalkan Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) yang memberi kuota kepada penjawat awam.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu seolah-olah menyisihkan penjawat awam.
Tambah beliau, dasar baharu ini bakal menidakkan kemampuan penjawat awam apatah lagi penentuan harga kediaman yang semakin meningkat.
“CUEPACS dengan rendah diri merayu kepada kerajaan untuk kekalkan dasar pembinaan rumah penjawat awam kerana sejarah telahpun kita lalui dengan sukar.
“Penjawat awam tidak mampu bersaing dengan mereka di luar iaitu pekerja-pekerja swasta yang gajinya jauh lebih tinggi untuk membeli rumah idaman mereka.
“Kalau dasar ini disusun semula mencampurkan penjawat awam, pekerja swasta dan netizen lain, kami bimbang penjawat awam tidak mampu beli rumah, apa lagi harganya ditetapkan RM300,000 (iaitu) luar kemampuan penajwat awam,” katanya ketika sidang media khas di ibu kota sebentar tadi.
Beliau berkata demikian mengulas pelancaran DRMM oleh Zuraida Kamaruddin baru-baru ini yang menetapkan tiada lagi pengkhususan pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam.
Selain itu beberapa panduan telah ditetapkan dalam dasar tersebut untuk dipatuhi oleh pemaju rumah mampu milik yang berkaitan keluasan dan bahan binaan yang digunakan.
Tambahnya, penjawat awam tidak ada harapan selain untuk kerajaan menyedia dan menawarkan rumah mampu milik kepada mereka, dengan harga tidak melebihi tahap kemampuan gaji yang diterima.
“Setiap kali cabutan (undi untuk) rumah penjawat awam, hanya 10 peratus berjaya, manakala 90 peratus lagi perlu bersaing dengan pekerja swasta dan akhirnya tidak dapat,” kata Azih lagi.
Azih turut mendakwa CUEPACS juga tidak dilibatkan dalam DRMM itu.
“Sebelum ini (sebelum ini CUEPACS dipanggil), yang baru-baru ini tidak ada. Mungkin mereka lupa. Mungkin pegawai mereka menutup nama CUEPACS,” tambahnya yang menganggarkan sebanyak 60 hingga 70 peratus penjawat awam masih tidak memiliki rumah sendiri atas sebab tidak mampu.
CUEPACS, menurut Azih akan menghantar surat kepada KPKT dalam masa yang terdekat untuk meminta penjelasan terhadap sebab munasabah yang dipertimbangkan dalam penetapan DRMM ini. – MalaysiaGazette