Home Ekonomi SC keluarkan Guiding Principles on Business Continuity

SC keluarkan Guiding Principles on Business Continuity

Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Guiding Principles on Business Continuity bagi entiti pasaran modal, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan daya tahan sistemik pasaran modal.

Prinsip-prinsip tersebut menyatakan jangkaan SC terhadap pendekatan pengurusan kesinambungan perniagaan entiti pasaran modal dalam memastikan kesinambungan yang wajar perkhidmatan kritikal dan pelaksanaan obligasi perniagaan sekiranya berlaku sebarang gangguan.

Pendekatan pengurusan perniagaan yang komprehensif juga akan membantu mengurangkan sebarang kemungkinan timbulnya implikasi risiko sistemik yang lebih meluas terhadap pasaran modal, memandangkan perubahan pesat dalam landskap pasaran.

Menurut SC lagi, prinsip-prinsip tersebut menggariskan enam bidang tumpuan yang bermatlamat untuk memastikan agar entiti pasaran modal mengenal pasti risiko gangguan operasi utama, termasuk risiko kebergantungan dan penumpuan; membangunkan strategi pemulihan berasaskan risiko; dan menyediakan prosedur penyampaian maklumat dan pelan komunikasi yang komprehensif bagi menangani risiko reputasi daripada gangguan operasi utama.

Entiti pasaran modal juga hendaklah menjalankan ujian tahunan bagi memastikan pelaksanaan amalan pasaran yang berterusan dan
penyelenggaraan yang kerap dan menyemak aturan kesinambungan perniagaan mereka.

Di samping itu, lembaga pengarah dan pengurusan kanan hendaklah secara bersama bertanggungjawab dalam memastikan kesinambungan perniagaan yang mantap dan berkesan.

Entiti pasaran modal digalakkan untuk mengguna pakai dan melaksanakan prinsip-prinsip ini, yang bertindak sebagai amalan terbaik, berpandukan jenis, saiz dan kerumitan operasi perniagaan mereka.

Prinsip-prinsip tersebut boleh didapati di eew.sc.com.my. – MalaysiaGazette