Home Utama Najib tidak arah KWAP luluskan pinjaman

Najib tidak arah KWAP luluskan pinjaman

Najib Tun Razak. foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk V Sithambaran yang tidak senang dengan soalan peguam bela, Harvinderjit Singh bertindak bangkit membantah dengan alasan ianya jawapan saksi tidak sepatutnya berdasarkan tekaan ‘conjecture’.

Kata Sithambaram, ini adalah prosiding perundangan dan sepatutnya tidak cuba meminta saksi untuk memberikan pandangan atau pandangan dengan hanya sekadar tekaan semata-mata.

Harvinderjit menyoal pandangan saksi ke-35, Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan KWAP, Azlida Mazni Arshad adakah sukar untuk menentukan bagaimana SRC International menggunakan wang pinjaman daripada KWAP kerana ia bercampur dengan wang dari sumber lain.

Peguam itu sambil memberikan contoh menyoal, seandainya wang pinjaman dari KWAP tidak boleh digunakan untuk tujuan tanggungjawab sosial oleh SRC, bagaimana pula mahu membezakan jika wang itu dari sumber lain.

Bagaimanapun, sebelum sempat saksi menjawab, Sithambaram bangkit bertanya sama ada boleh bertanya soalan seperti ini, riak wajahnya juga tampak tidak senang langsung.

Sithambaram: Ini soalan perundangan

Harvinderjit: Tidak apa, ini saksi perundangan jadi boleh sahaja berikan pandangan perundangan sebenarnya.

Sithambaram: Sama ada wang itu telah bercampur dengan sumber lain atau tidak, bagaimana mahu tekaan begitu? Ini adalah ‘conjecture’. Bagaimana saksi boleh beri pandangan seperti itu? Mana boleh begitu.

Sithambaram cuba memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali namun beliau tidak memberikan apa-apa reaksi.

Harvinderjit kemudian menyambung soalan beliau menyoal Azlida.

Terdahulu, Azlida mengakui dirinya tidak ada ketika panel pelaburan KWAP bermesyuarat dan berbicara tentang dakwaan Najib cuba mempercepatkan permohonan pinjaman RM2 bilion kepada SRC.

Pada Khamis lepas, Azlida mendedahkan Najib cuba mempercepatkan proses pinjaman tersebut, namun kemudian hari ini mengatakan bekas Menteri Kewangan itu hanya sekadar memberikan nota dan bukan memberi arahan tentang permohonan kelulusan tersebut.

Saksi juga memberitahu pinjaman kedua RM2 bilion yang diberikan oleh KWAP kepada SRC pada Mac 2012 juga berdasarkan jaminan daripada kerajaan.

Perbicaraan kemudian berhenti dan akan disambung esok jam 9 pagi dengan keterangan serta soal balas saksi sama. –MalaysiaGazette