KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang merangka pelbagai pelan tindakan untuk mempromosikan aktiviti Projek Pemecutan Ekonomi (EAP) di sepanjang koridor Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ini termasuklah berhubung dengan pemegang taruh yang berkaitan seperti pemain-pemain industri-industri tempatan.
Ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara MIDA dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 25 April lalu di Beijing bagi menubuhkan sebuah pasukan khas dalam MIDA untuk memudah cara, menilai dan menyemak pelaksanaan EAP.
MIDA dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, agensi itu bersama CCCC akan mempromosikan EAP bagi memaksimumkan kejayaannya di samping menjemput para pelabur asing dan tempatan untuk menyertai projek berkenaan.
Kedua-dua pihak juga akan bersama-sama melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan kapasiti untuk menggalakkan lagi masyarakat perniagaan menganjur atau menyertai dialog, bengkel, seminar dan persidangan di samping menyediakan bantuan teknikal untuk mempromosikan pembangunan kapasiti serta latihan dan berkongsi pengalaman.
“Projek ini akan membuka spektrum yang lebih luas kepada peluang perniagaan dan pekerjaan termasuklah pembangunan kawasan-kawasan industri, hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sepanjang koridor ECRL,” katanya.- MalaysiaGazette