MARANG – Walaupun Pas menerima pelbagai hentaman selepas Barisan Nasional memutuskan tidak ada wakil kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) nampaknya presidennya masih komited.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap menyatakan kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk Pas membawa usul persendirian berkenaan di Dewan Rakyat.
“Kita dapat persetujuan bawa (RUU355) dalam sidang (Dewan Rakyat) kali ini.
“Biar speaker (Tan Sri Pandikar Amin) tentukan masa ikut standing order selepas urusan kerajaan (selesai bentang).
“Walaubagaimanapun kerajaan boleh bagi masa,” ujarnya ketika ditemui di Masjid Rusila di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas ketetapan BN yang tidak ada wakil kerajaan membentangkan RUU355 di Dewan Rakyat seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pendirian Pas mengenainya.
Ditanya sama ada Pas akan menukar strategi akibat ketetapan BN, Abdul Hadi berkata, ia tidak ada kaitan dengan politik.
“Tidak ada kaitan..ini (RUU355) hak kewajpan umat Islam, tidak ada sebab orang bukan Islam campur tangan,” katanya lagi.
Beliau juga menyeru setiap ahli parlimen muslim menyokong RUU355 itu sekiranya dibentangkan dan bagi wakil rakyat bukan Islam mereka perlu menghormatinya selaras dengan Perlembagaan.
“Ini kewajipan bersama macam kerajaan bina masjid, itu kerja agama kita kena sokong,” katanya.
Mengenai pelbagai tentangan yang bakal dihadapi Pas ekoran isu yang sama, Abdul Hadi berkata; “Kita (Pas) hadapi halangan dan kita kenal siapa yang menghalang,”.-MalaysiaGazette