Home Nasional Kempen waktu kerja, guna aset kerajaan: SPR sedia bincang

Kempen waktu kerja, guna aset kerajaan: SPR sedia bincang

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) dan mana-mana pihak dalam usaha untuk menambah baik sistem pilihan raya di negara ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, antara penambaikan yang perlu dilaksanakan segera termasuk peraturan penggunaan aset-aset kerajaan dan anggota pentadbiran untuk berkempen semasa waktu pejabat.

“Bagi melaksanakan penambahbaikan tersebut, SPR telah melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak seperti parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi sosial, agensi kerajaan dan juga organisasi antarabangsa.

“Ia merujuk kepada perkara yang telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri termasuk penggunaan aset-aset kerajaan dan larangan anggota pentadbiran untuk berkempen semasa waktu pejabat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhar juga berkata, tindakan itu selaras dengan proses kerja libat urus dan keterbukaan SPR untuk mendapatkan input serta pandangan daripada semua pihak terutamanya pihak yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya.

“Fokus utama SPR adalah untuk membentuk satu proses pilihan raya yang adil kepada semua pihak dan ia berjalan dengan telus dan berintegriti,” katanya.

Katanya lagi, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pihaknya telah mengambil pelbagai tindakan untuk menambah baik proses pilihan raya dan sedang melihat secara menyeluruh reformasi yang boleh dilaksanakan.

“Adalah menjadi matlamat SPR agar semua penambahbaikan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan nanti dapat menjamin pilihan raya yang telus, bersih dan adil.

“Penambahbaikan terhadap proses penjalanan pilihan raya yang tidak melibatkan pindaan undang-undang telah pun dilaksanakan.

“Manakala yang melibatkan pindaan undang-undang pula, ianya perlu kepada penelitian dan kajian lanjut oleh SPR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Peraturan SPR hanya untungkan pembangkang, Tun M