BANGI – Gerakan Islam di negara ini tidak sewajarnya menghalang kelompok-kelompok kecil daripada menyatakan pandangan mereka berhubung Islam itu sendiri.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sebuah negara demokratik, semua pihak berhak bersuara tanpa mengira fahaman agama mahupun kaum.
“Saya bila bicara dengan badan-badan Islam, mereka sering meluahkan pandangan, kenapa kelompok kecil tuntut ini dan dia rasakan bercanggah dan tidak selari (ajaran Islam).
“Kita harus beri ruang kepada mereka, tetapi jangan pula kita mengambil satu sikap diam atau rasa resah sehingga tidak menyuarakan pandangan kita.
“Saya tak bersetuju untuk mengekang atau menghalang mereka, benarkan mereka kerana kita yakin kita boleh dalam wacana segar dan bebas memberikan pandangan yang lebih rasional dan didokong oleh rakyat,” katanya pada sidang media dalam Iftar Perdana anjuran Abim-Wadah-PKPIM di sini, malam ini.
Sebaliknya Anwar menggesa badan-badan Islam perlu memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap Islam yang cuba dibawa oleh kelompok ekstrem dalam Islam di negara ini.
“Sepatutnya badan-badan Islam menyuarakan (pandangan) supaya masyarakat baik orang Islam atau bukan Islam lihat pandangan Islam ini berbeza daripada kelompok ekstrem.
“Mereka ini kelompok pelampau yang sekarang yang mahu dianggap sebagai suara masyarakat Islam, ada pandangan sebegini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette