Home Sukan FA England tolak rayuan kad merah Jamie Vardy

FA England tolak rayuan kad merah Jamie Vardy

red-card-jamie-vardy

Pengerusi Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha menyifatkan keputusan Persatuan Bola Sepak England (FA) menolak rayuan Jamie Vardy terhadap kad merah yang diterima sebagai ‘tidak adil’.

Vardy dibuang padang ketika menghadapi Stoke pada Sabtu lalu kerana menerjah Mame Biram Diouf dengan kedua-dua kakinya.

Pengadil perlawanan, Craig Pawson mempunyai sebab munasabah untuk melayangkan kad merah ke atas terjahan keras itu.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu itu merayu terhadap hukuman itu namun Panel Disiplin FA menolak rayuan tersebut.

Berikutan itu, hukuman gantung tiga perlawanan ke atas Vardy dikekalkan.

“Saya kecewa dengan keputusan yang tidak adil oleh pengadil terhadap Vardy dan terkejut rayuan juga ditolak.

“Saya telah menghabiskan masa dan tenaga yang banyak untuk memastikan kelab kesayangan ini terus sukses, tetapi keputusan sebegini menjatuhkan semangat saya dari bola sepak dan menurunkan imej EPL.

“Kami akan meneruskan perjalanan kami dan inilah masanya untuk bersatu dan menyokong pasukan kita tanpa takut, tidak kira apa jua keadaan sekali pun,” kata Srivaddhanaprabha.

Keputusan itu sudah pasti mengecewakan pengurusnya, Claudio Ranieri yang bergelut untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu.

The Foxes hanya menang empat daripada 17 perlawanan musim ini dan kini hanya tiga mata untuk memasuki zon penyingkiran. – Agensi