Home Nasional KTMB lancar aplikasi MyRailtime untuk perjalanan lebih efektif

KTMB lancar aplikasi MyRailtime untuk perjalanan lebih efektif

Anthony Loke Siew Fook
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tengah) ketika melakukan gimik pelancaran sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin (kiri) dan Pengurus Besar ICT KTMB, Shafiin Yunus (kanan) pada Majlis Pelancaran MyRailtime iaitu aplikasi oleh KTMB di VIP Lounge Semasa Sentral, Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini melancarkan aplikasi telefon pintar dikenali sebagai MyRailtime bagi memberi maklumat mengenai masa perjalanan perkhidmatan KTM Komuter dan Skypark Link.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, MyRailtime yang pertama kali diperkenalkan KTMB itu bertujuan menyediakan maklumat tepat mengenai waktu berlepas, ketibaan serta kelewatan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

“Aplikasi mudah alih itu membolehkan sesiapa sahaja mengetahui maklumat penting berkaitan perjalanan tren-tren bermula dengan perkhidmatan KTM Komuter.

“Ia boleh diakses dengan memuat turun ke dalam telefon pintar. Kemudian pengguna boleh mendapatkan maklumat jangka masa ketibaa tren komuter di stesen masing-masing secara real-time.

“Masa perjalanan KTM Komuter dan Skypark Link mudah dikesan secara ‘real time’ selepas setiap tren ini dipasang dengan alat GPS dan segala pergerakan perkhidmatan ini boleh dipantau oleh penumpang,” katanya berucap merasmikan MyRailtime di Kuala Lumpur Sentral, di sini, hari ini.

MGF17052019_MAJLIS PELANCARAN MYRAILTIME08
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin (kanan) menunjukkan aplikasi MyRailtime kepada sebahgian orang ramai pada Majlis Pelancaran MyRailtime iaitu aplikasi oleh KTMB di VIP Lounge Semasa Sentral, Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2019

Anthony juga berkata, MyRailtime itu juga membolehkan orang ramai merancang perjalanan mereka dengan lebih efektif dan menjimatkan masa tanpa perlu menunggu di stesen begitu lama.

“Ia penting khususnya bagi mendapatkan maklumat mengenai masa pelepasan dan ketibaan tren KTM Komuter khususnya mereka yang membuat perjalanan penting setiap hari termasuk berulang-alik dari kediaman ke tempat kerja masing-masing.

“Perkhidmatan cekap dan efisien sudah semestinya memerlukan teknologi dan aplikasi terkini bagi membantu rakyat merancang perjalanan mereka dengan lancar,” katanya.

Katanya, MyRailtime juga akan diperluaskan untuk perkhidmatan KTM Komuter Utara, perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar (Intercity) selepas semua kerja-kerja penambahbaikan stesen selesai sepenuhnya.

“Kerja-kerja menaiktaraf stesen KTM Komuter sudah berjalan sejak dua tahun lalu dan fasa pertama dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

“Ia akan dikemaskini secara berperingkat dan dijangka boleh digunapakai untuk semua perkhidmatan mulai September 2019,” katanya.

KTMB mensasarkan sekurang-kurangnya sejuta pengguna menggunakan aplikasi ini menjelang akhir tahun ini berdasarkan kepada statistik KTM Komuter, ETS dan KTM Antarabandar.

Tahun lalu, KTM Komuter merekodkan sejumlah 35 juta penumpang manakala ETS (64 juta) dan KTM Antarabandar (35 juta).

Aplikasi MyRailtime kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apps Store. – MalaysiaGazette