KUALA LUMPUR – Khabar angin mula bertiup di media sosial mengatakan bintang Melaka United, Safiq Rahim bakal berhijrah menyertai skuad Kedah dalam masa terdekat.
Bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) pernah dikaitkan dengan pasukan Hijau Kuning awal musim ini namun Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menafikan berminat dengan khidmat bekas kapten Harimau Malaya itu.
Mengulas mengenai isu tersebut, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui tidak mengetahui apa-apa tentang rundingan PKFA dengan pemain tersebut kerana fokusnya kini untuk membantu pasukan menghadapi perlawanan Liga Super sabtu ini.
Kedah ketika ini memerlukan perancang tengah yang berwibawa selepas pemain import pasukan itu, Ammar Al-Mubaraki sering mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi dalam beberapa perlawanan.
Kapten pasukan, Badddrol Bakhtiar bagaimanapun sedia menerima kehadiran Safiq sekiranya pihak pengurusan sudah membuat keputusan mereka untuk membawa masuk bekas pemain terbaik Piala AFC 2015 itu. – MalaysiaGazette